Dalam era media sosial yang serba pantas ini, platform seperti TikTok menjadi tempat untuk berkongsi pelbagai bentuk hiburan, ilmu, dan kreativiti. Namun, di sebalik keseronokan mencipta kandungan, ada satu trend yang semakin membimbangkan, trend lagu ‘bungkus’ yang disambungkan dengan lagu berunsurkan ketuhanan, Astaghfirullah nyanyian penyanyi religi Indonesia, Opick. Penggunaan nama Allah SWT dalam video atau audio semata-mata untuk hiburan, gurauan, atau “content” yang tidak beradab.
Dalam Islam, nama Allah SWT adalah suci dan agung. Ia bukan sekadar sebutan di bibir, tetapi lambang keesaan dan kebesaran Tuhan yang mencipta seluruh alam. Firman Allah SWT dalam surah Al-A‘raf ayat 180:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang indah (Asma’ul Husna), maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahgunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.”
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa menyalahgunakan nama Allah bukan perkara kecil. Ia termasuklah mempermainkan atau menggunakannya dalam konteks yang tidak layak, seperti bahan jenaka, “trend sound” TikTok, atau parodi.
Media sosial boleh menjadi medan pahala jika digunakan untuk dakwah, menyebarkan kebaikan, atau hiburan yang tidak melanggar batas syarak. Namun, apabila unsur agama dijadikan bahan lawak atau permainan, ia boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah SWT.
Sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati. Kadangkala niat kita mungkin tidak jahat dan hanya ingin “ikut trend” atau “buat content viral”. Tetapi tindakan itu boleh mengundang fitnah terhadap agama. Ia juga boleh menyebabkan orang bukan Islam memandang rendah terhadap kesucian Islam.
Nasihat dan renungan:
1) Jaga adab dengan Allah SWT. Jangan gunakan nama-Nya dalam konteks gurauan, tarian, atau video yang tidak sopan.
2) Fahami batas hiburan. Islam tidak menolak hiburan, tetapi hiburan mesti berlandaskan adab dan tidak mencemarkan kesucian agama.
3) Gunakan platform untuk kebaikan. Jadikan TikTok atau media sosial sebagai ruang untuk menyebarkan dakwah ringan, motivasi Islamik, atau mesej positif.
4) Ingat tanggungjawab sebagai Muslim. Setiap perkongsian kita akan dihisab. Jangan kerana ingin viral, kita kehilangan keberkatan.
Marilah kita sama-sama memperkukuh rasa hormat terhadap agama dan nama Allah SWT yang Maha Mulia. Jangan jadikan trend atau hiburan sebagai alasan untuk mempermainkan sesuatu yang suci. Dunia ini hanya sementara, tetapi setiap amal, termasuk perkongsian di media sosial akan kekal dalam catatan amal kita. Semoga Allah SWT memberi kita taufik dan hidayah untuk menjaga lidah, hati, dan perbuatan dalam dunia maya seperti kita menjaga adab di dunia nyata. Allah SWT berfirman:
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Sumber: TikTok Hashim Kawsin

Comments
Post a Comment