Mutakhir ini, kemunculan kumpulan tarekat semakin mencanak. Persoalannya, adakah amalan-amalan ibadah yang diritualkan sesebuah kumpulan tersebut itu selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah atau boleh dikategorikan sebagai sesat?
Secara umumnya, amalan tarekat itu tidak salah kerana makna tarekat itu sendiri adalah jalan untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT. Tarekat ini merangkumi soal akidah, ibadah dan akhlak. Ia juga hendaklah diamalkan sebagaimana tarekat yang diikuti oleh Rasulullah SAW sebagaimana diajarkan kepada Baginda SAW melalui Malaikat Jibril.
Namun, kini terdapat terlalu banyak ajaran tarekat yang mempunyai amalan-amalan tertentu dan tersendiri kononnya untuk tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT, namun hakikatnya salah. Contohnya di bulan Rejab ini ada amalan kumpulan tarekat yang meminta pengikutnya melakukan suluk (perjalanan atau jalan rohani menuju Allah SWT) hanya di bulan Rejab. Guru-guru tarekat kumpulan tersebut menggunakan hadis yang direka mengenai seorang ‘wali Allah’ yang melakukan suluk hanya di bulan Rejab dan bermaksiat di bulan-bulan lain.
Melalui hadis palsu tersebut, mereka mempercayai bahawa pada bulan Rejab yang juga dikenali sebagai bulan Allah adalah satu-satunya bulan yang perlu memfokuskan diri untuk beramalan dan beribadah kepada Allah SWT. Manakala pada bulan-bulan lain adalah bebas untuk melakukan maksiat kerana mereka percaya pada bulan Rejab telah diampunkan dosa secara total. Tarekat ini difahami terikut dengan ajaran sesat Syiah, bukannya dari al-Quran dan hadis yang sahih.
Justeru itu, berhati-hatilah dalam menerima sebarang ajaran tanpa menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang ‘tok guru’ itu. Jika bertindak sendiri tanpa mempunyai ilmu agama mencukupi atau tanpa merujuk kepada pihak yang mempunyai pengetahuan agama yang diiktiraf, maka amalan-amalan tarekat tersebut dikhuatiri boleh mencenderungkan seseorang itu tersesat.
Sumber:Irsyad Fatwa ke-28 – Mufti Wiayah Persekutuan

Comments
Post a Comment