Latar Belakang
Gereja Unification atau Unification Church diasaskan oleh Sun Myung Moon di Korea Selatan pada tahun 1954. Ia sering dikaitkan sebagai sebuah kultus berteras Kristian yang menyimpang daripada ajaran Kristian arus perdana, bahkan berpegaruh di peringkat global merentasi politik, ekonomi dan aktivisme sosial. Gerakan ini tidak menampilkan diri secara agresif sebagai misi agama, sebaliknya menggunakan pendekatan kemasyarakatan, kebudayaan dan kemanusiaan bagi menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Ideologi dan Kepercayaan
Ideologi ‘Unification’ berpaksikan kepercayaan bahawa pengasasnya adalah “Messiah” iaitu pelengkap misi Nabi Isa AS. Mereka menekankan konsep ‘True Parent’, penyucian keturunan dan ritual ‘blessing’ sebagai tanda menyucikan dosa atau kelahiran semula. Kepercayaan ini sudah pastinya jelas bercanggah dengan akidah Islam kerana mengangkat manusia ke tahap kenabian dan ketuhanan.
Penyusupan terhadap Masyarakat Melayu
Kebimbangan timbul apabila pendekatan mereka dilihat menyasarkan orang Islam termasuk golongan berpengaruh dan ahli politik melalui program bersifat kemasyarakatan seperti keharmonian sejagat, cinta universal dan dialog antara agama. Kontroversi semakin hangat tatkala orang Islam turut menyertai upacara ritual Kristian termasuk upacara ‘blessing’ yang melibatkan Majlis Perwakilan Melayu, program ‘Loving Couple Festival’ yang kebanyakannya adalah golongan kelainan upaya, ‘interfaith water ceremony’ yang turut disertai oleh seorang ustaz daripada jabatan agama negeri. Tindakan ini amat mengecewakan dan menggambarkan sokongan terhadap pluralisme agama. Walaupun berkedok perpaduan dan toleransi, hakikatnya ia mengandungi unsur ritual agama Kristian yang boleh menjejaskan akidah.
Ancaman kepada Agama Islam dan Malaysia
Perkembangan dan kebangkitan misionari Kristianisasi ini wajar dipandang serius kerana Islam adalah agama Persekutuan Malaysia sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Sebarang bentuk penyebaran ideologi atau ritual yang boleh mengelirukan umat Islam bukan sahaja mengancam individu Muslim, malah kestabilan agama dan sosial negara jika dibiarkan tanpa kefahaman dan tindakan berhemah.
Justeru itu, umat Islam perlu fahami bahawa menyantuni penganut agama lain bukanlah satu kesalahan, malah Islam menggalakkan keharmonian dan saling menghormati. Namun, apabila seseorang Muslim mula menyertai atau menormalisasikan ritual agama lain, ia sudah menyentuh soal akidah yang dibimbangi boleh jatuh sesat dan murtad. Ingat, toleransi tidak bermakna menggadaikan iman!!!
Sumber: https://www.facebook.com/Ahmad.Iqram609 - 18 DIS 2025

Comments
Post a Comment