APABILA AGAMA DIJADIKAN ALAT: SATU PERINGATAN BUAT MEREKA YANG MENCARI DUNIA DENGAN NAMA TUHAN

Mutakhir ini, timbul satu fenomena yang meresahkan umat Islam apabila segelintir individu yang dilabel sebagai “golongan agama” didakwa menjadikan agama sebagai alat meraih kepentingan peribadi. Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan mereka yang secara terbuka “mengemis” hadiah (gift) daripada penonton ketika siaran langsung di media sosial, seolah-olah dakwah dan agama dijadikan medium untuk keuntungan dunia semata-mata. Isu ini sehingga mendapat teguran secara langsung daripada Timbalan Menteri Agama, menandakan betapa seriusnya perkara ini di sisi agama dan masyarakat.

Dalam Islam, agama bukan barang dagangan dan dakwah bukan jalan untuk mengaut kekayaan. Allah SWT memberi peringatan yang jelas:

"Dan janganlah kamu menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit.” (QS Al - Baqarah: 41).

Ayat ini menjadi amaran keras agar ilmu, nasihat dan peringatan agama tidak diperdagangkan demi habuan dunia. Apabila seseorang menyampaikan agama bukan kerana keikhlasan, tetapi kerana mengejar gift, populariti dan pujian manusia, maka bimbang ia tergolong dalam golongan yang rugi di akhirat.

Rasulullah SAW sendiri telah mengingatkan tentang bahaya niat yang rosak dalam menuntut dan menyampaikan ilmu agama:

"Sesiapa yang mempelajari ilmu yang sepatutnya kerana Allah, tetapi dia mempelajarinya untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mencium bau syurga pada hari kiamat.” (HR Abu Daud).

Hadis ini menunjukkan bahawa nilai dakwah dan ilmu bukan pada jumlah penonton atau hadiah yang diterima, tetapi pada keikhlasan niat semata-mata kerana Allah SWT. Apabila dakwah dicemari dengan unsur meminta-minta, meraih simpati dan mengejar imbuhan, maka hilanglah keberkatan ilmu tersebut.

Islam sangat menjaga maruah pendakwah dan orang berilmu. Mereka sepatutnya menjadi contoh akhlak mulia, zuhud terhadap dunia dan tidak menjatuhkan harga agama di mata masyarakat. Rasulullah SAW bersabda:

"Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah.” (HR Muslim).

Prinsip ini mengajar umat Islam agar tidak membiasakan diri meminta-minta, lebih-lebih lagi dengan menggunakan nama agama sebagai alasan. Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencalarkan imej agama, malah boleh menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap institusi dakwah dan golongan agamawan secara keseluruhan.

Teguran yang dibuat oleh pihak berautoriti agama wajar dilihat sebagai nasihat dan peringatan, bukan serangan. Ia bertujuan mengembalikan kesucian dakwah agar tidak tersasar daripada matlamat asal — mengajak manusia kepada Allah, bukan kepada dunia. Allah SWT berfirman:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.” (QS Al - An'am: 162).

Isu ini seharusnya menjadi muhasabah bersama, khususnya bagi mereka yang membawa nama agama di ruang awam. Dakwah adalah amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat. Janganlah agama yang mulia ini dicemari dengan niat yang hina. Marilah kita memelihara kesucian agama, membetulkan niat dan kembali menjadikan dakwah sebagai jalan mencari reda Allah SWT, bukan jalan mencari keuntungan dunia semata-mata.

Sumber: Utusan Malaysia (13 Disember 2025)

Comments