Dalam ajaran Islam, hubungan sejenis dan perbuatan liwat adalah termasuk dosa besar yang ditegah oleh syariat. Larangan ini bukan bertujuan menghina atau menindas manusia, tetapi sebagai penjagaan fitrah manusia, keturunan, dan kesucian masyarakat. Islam menegaskan bahawa apa yang menyimpang dari fitrah akan membawa kerosakan, namun pada masa yang sama, Islam juga agama rahmah. Ini kerana pintu taubat tetap terbuka seluas-luasnya bagi sesiapa yang kembali memohon keampunan.
Al-Quran merakamkan kisah kaum Nabi Luth sebagai contoh jelas bahawa hubungan sesama jenis adalah dosa yang mengundang kemurkaan Allah. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwat, bukan kepada perempuan. Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas.”
(QS Al-A‘raf: 81).
Allah SWT turut menggambarkan akibat yang menimpa mereka:
"Lalu Kami hujani mereka dengan hujan batu. Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang yang berdosa itu.”
(QS Al-A‘raf: 84).
Ayat-ayat ini tidak mengajar kita membenci manusia yang terjebak, tetapi memberikan peringatan bahawa perbuatan itu adalah mungkar dan mengundang murka Allah SWT jika diteruskan tanpa taubat. Rasulullah SAW bersabda:
“Allah melaknat orang yang melakukan perbuatan kaum Luth.” (HR Ahmad).
Laknat yang dimaksudkan adalah terhadap perbuatan, bukan manusia itu sendiri. Selagi seseorang belum meninggal dunia, mereka berhak untuk kembali kepada Allah dan mendapatkan rahmat-Nya.
Walaupun perbuatan tersebut sangat dilarang dalam Islam, syariat tidak pernah mengajar umatnya untuk menyakiti, memulau atau menghinakan seseorang. Islam menegaskan bahawa setiap manusia memiliki kehormatan sebagai makhluk Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
“Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa.”
(QS Az-Zumar:53).
Ayat ini menegaskan bahawa tiada dosa yang terlalu besar untuk diampuni, termasuklah zina, liwat, atau apa jua bentuk penyimpangan selagi seseorang kembali kepada Allah SWT dengan taubat nasuha.
Dalam suasana hari ini, gerakan normalisasi hubungan sejenis semakin berleluasa dan cuba diwajarkan. Umat Islam dituntut untuk:
* menolak normalisasi perbuatan yang bercanggah dengan syariat,
* berpegang pada fitrah kejadian manusia,
* mendidik dengan hikmah dan kasih sayang,
* mengajak kepada taubat dan memperbaiki diri,
* menjaga maruah keluarga, masyarakat dan agama.
Islam tidak pernah menolak manusia, yang ditolak ialah perbuatan mungkar. Manusia tetap diberi ruang untuk kembali kepada Allah SWT dan memperbaiki kehidupan.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment