Baru-baru ini, masyarakat dikejutkan dengan kontroversi penceraian melibatkan pasangan selebriti tempatan yang dikaitkan dengan kewujudan individu luar dikenali sebagai “coach cerai”. Isu ini bukan sekadar kisah peribadi selebriti, bahkan telah membuka perbincangan besar tentang bagaimana urusan rumah tangga umat Islam kini seolah-olah dipermudahkan dan diserahkan kepada pihak yang tidak berautoriti.
Perkara ini akhirnya mendapat perhatian serius Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mengeluarkan kenyataan rasmi menegaskan bahawa hal perkahwinan dan perceraian wajib dirujuk kepada pihak berkelayakan seperti Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Mahkamah Syariah, bukan kepada individu luar yang tiada kelulusan atau pengiktirafan.
Dalam Islam, perkahwinan adalah satu ikatan suci (mitsaqan ghaliza) yang tidak boleh dipermainkan. Perceraian pula, meskipun dibenarkan, merupakan perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT jika dilakukan tanpa keperluan dan adabnya. Rasulullah SAW bersabda:
"Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak.” (HR Abu Daud).
Oleh itu, Islam telah menetapkan garis panduan jelas dalam menangani konflik rumah tangga, termasuk mendapatkan nasihat daripada pihak yang berilmu, adil dan diiktiraf, bukannya pihak ketiga yang menjadikan penderitaan orang lain sebagai modal populariti atau keuntungan.
Kewujudan individu tidak bertauliah yang kononnya menjadi “penasihat” dalam urusan perceraian amat membimbangkan. Nasihat yang tidak berlandaskan ilmu syariah berpotensi merosakkan rumah tangga, menzalimi pasangan dan anak-anak, serta mencemarkan kefahaman masyarakat terhadap hukum Islam itu sendiri.
Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran agar setiap urusan dirujuk kepada ahlinya:
"Maka bertanyalah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui." (QS An - Nahl: 43).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam menolak campur tangan orang luar yang tidak berkelayakan dalam urusan besar seperti perkahwinan dan perceraian.
Teguran yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan melalui Menteri Hal Ehwal Agama wajar disambut dengan kesedaran dan muhasabah bersama. Ia bukan bertujuan mengongkong, tetapi untuk melindungi institusi keluarga Islam daripada kerosakan yang lebih besar. Masyarakat perlu kembali meletakkan kepercayaan kepada institusi agama yang sah, para pegawai syariah, kaunselor bertauliah dan mahkamah yang ditubuhkan khusus untuk menjaga maslahat umat.
Kesimpulannya, isu ini seharusnya menjadi pengajaran kepada semua bahawa rumah tangga bukan medan eksperimen, dan perceraian bukan kandungan sensasi untuk tontonan umum. Islam mendidik umatnya agar menyelesaikan konflik dengan hikmah, ilmu dan adab, bukan dengan emosi dan pengaruh orang luar. Kembalilah kepada syariat, nescaya kita akan dipelihara daripada keputusan yang disesali di dunia dan dipersoalkan di akhirat.
Sumber: TikTok Peguam Syarie Hidayah (https://vt.tiktok.com/ZSPq2XY8a/)

Comments
Post a Comment