JANGAN MENGHINA KERJAYA SESEORANG: IBRAH DAN ADAB MENURUT ISLAM


Jika dahulu pepatah 'menuntut ilmu biar sampai ke negeri Cina' menjadi panduan untuk jangan pernah berhenti menuntut ilmu, walaupun terpaksa pergi sejauh mana pun. Bagaimanapun, semakin dunia berjalan mengikut peredaran semasa, ilmu lagi-lagi dalam konteks pembelajaran di sekolah semakin dipandang enteng oleh sebahagian masyarakat terutama kelompok Gen-Z. Seperti sebuah video tular yang sedang menjadi perbincangan warganet, apabila seorang pengguna TikTok memuat naik video seolah-olah merendahkan pendidikan di peringkat sekolah menengah. Kenyataan itu berbunyi:

“Malas belajar tiada masa depan. Sorry cikgu. Saya buat gaji setahun cikgu dalam masa sebulan. Salam dari budak tiada SPM.”

Kenyataan sebegini bukan sahaja mengguris hati, bahkan menunjukkan hilangnya adab dan rendahnya faham tentang nilai rezeki dalam Islam. Dalam agama kita, kerjaya bukan ukuran mulia atau hinanya seseorang, dan pendapatan bukan tanda Allah SWT lebih menyayangi seseorang berbanding yang lain. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Tuhanmu meluaskan rezeki bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan menyempitkannya (bagi sesiapa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (QS Al – Isra’: 30).

Rezeki luas atau sempit bukan kerana kita lebih mulia, tetapi kerana ia ujian dan pembahagian Allah. Ada yang diuji dengan rezeki sedikit untuk disabarkan. Ada yang diuji dengan rezeki melimpah ruah untuk dilihat adakah dia bersyukur atau menjadi sombong. Rasulullah SAW bersabda:

“Cukuplah seseorang itu dianggap melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya yang Muslim.” (HR Muslim).

Menghina pekerjaan seseorang terutamanya pekerjaan mulia seperti guru adalah perbuatan yang dikecam dalam Islam. Sombong bukan sekadar berjalan mendongak ke langit, tetapi menolak kebenaran dan memandang rendah manusia. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (QS Al – Hujurat: 13).

Guru bukan hina kerana gajinya. Petani bukan rendah kerana kerjanya. Penjual burger bukan kurang nilai kerana tidak bergaji besar. Setiap pekerjaan yang halal itu mulia, selagi ia tidak menzalimi orang lain dan dilakukan dengan amanah. Yang mulia di sisi Allah adalah hati yang ikhlas, akhlak yang baik, dan usaha yang halal. Rasulullah SAW mengingatkan:

“Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah sifat sombong.” (HR Muslim).

Sombong dengan rezeki seolah-olah menafikan bahawa semuanya datang daripada Allah. Rezeki boleh datang dengan pantas, dan boleh hilang sekelip mata. Apa yang kekal ialah keberkatan yang datang melalui:

• Syukur.
• Adab.
• Menghormati orang lain.
• Memberi manfaat kepada orang lain.

Jika kita benar-benar bersyukur atas rezeki yang Allah beri, kita tidak akan sibuk merendahkan rezeki orang lain. Syukur itu terzahir melalui kerendahan hati, bukan melalui perbandingan pendapatan. Guru, tukang cuci, pemandu lori, mekanik, peniaga kecil, pekerja kilang, mereka semua adalah pejuang rezeki. Tanpa mereka, masyarakat lumpuh.

Rezeki kita bukanlah untuk disombongkan, tetapi untuk dimanfaatkan. Kerjaya orang lain bukan untuk dihina, tetapi dihormati. Islam mengajar kita bahawa kemuliaan bukan pada gaji, tetapi pada akhlak, bukan pada pangkat, tetapi pada takwa. Moga Allah SWT menjadikan kita hamba yang menjaga lidah, memelihara adab dan tidak terpedaya dengan ujian kekayaan.

Sumber: Portal Berita Majoriti.com

Comments