KAABAH BUKAN 'PENTAS MAINAN': PERBETULKAN NIAT, PELIHARA KESUCIAN KAABAH


Baru-baru ini, umat Islam dikejutkan dengan isu seorang selebriti yang melakukan acara gender reveal di hadapan Kaabah, tempat paling suci bagi umat Islam. Tindakan tersebut mengundang pelbagai kritikan daripada masyarakat kerana dilihat tidak menghormati kesucian Tanah Haram, apatah lagi apabila ibadah umrah dan haji sepatutnya dilakukan dengan penuh khusyuk, tawaduk dan rasa kehambaan kepada Allah SWT. 

Lebih mendukacitakan, suami kepada selebriti tersebut merupakan seorang mutawif, iaitu individu yang seharusnya lebih arif tentang adab, hukum dan tujuan sebenar berada di Tanah Suci.

Kaabah bukan sekadar lokasi yang indah untuk dirakam, tetapi ia adalah kiblat umat Islam, tempat doa diangkat dan air mata taubat dicurahkan. Allah SWT berfirman:

"Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu lahir daripada ketakwaan hati.”  (QS Al - Hajj: 32).

Ayat ini jelas mengingatkan bahawa setiap Muslim dituntut untuk memelihara kehormatan dan kesucian tempat-tempat ibadah, lebih-lebih lagi Masjidil Haram yang dimuliakan oleh Allah SWT.

Fenomena menjadikan ibadah sebagai bahan tontonan atau kandungan media sosial perlu direnungi dengan hati yang jujur. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”  (HR Bukhari dan Muslim).

Jika niat ke Tanah Suci telah bercampur dengan keinginan meraih perhatian, pujian atau populariti, maka dibimbangi nilai ibadah itu akan terhakis, bahkan boleh bertukar menjadi riya’ yang amat dibenci oleh Allah SWT.

Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada isu ini dengan memperbetulkan niat sebelum melangkah ke Tanah Haram. Datanglah sebagai hamba yang penuh rasa hina dan berharap keampunan, bukan sebagai pencipta kandungan yang mencari sorakan. Jagalah adab, kawal perbuatan dan fahami bahawa setiap inci di Tanah Suci adalah medan ibadah, bukan ruang hiburan atau perayaan peribadi.

Marilah kita bersama-sama bermuhasabah. Tanah Suci adalah tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, membersihkan jiwa dan memperbaharui keimanan. Jangan kita cemari kesuciannya dengan perkara yang melalaikan atau merendahkan martabat ibadah. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman, membetulkan niat kita, dan menerima setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas kerana-Nya semata-mata.

Sumber: Portal Zayan.my

Comments