KECELARUAN ATEIS TERHADAP KONSEP KETUHANAN

 


Corak pemikiran golongan ateis di Malaysia adalah hasil daripada kecelaruan mereka terhadap beberapa konsep agama yang asas iaitu berkaitan pembuktian kewujudan Tuhan, keadilan Tuhan, kehidupan selepas mati, kewujudan syurga dan neraka serta persoalan-persoalan ranting kepada soalan pokok agama yang berkaitan pembuktian kewujudan agama daripada aspek saintifik dan logik.

Secara umumnya, faktor yang menyebabkan golongan ateis murtad dari agama Islam di Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga aspek utama iaitu:
i. Masalah kejahatan
- mereka mempersoalkan kezaliman Zionis yang berlaku secara terus menerus ke atas penduduk Palestin sedangkan Allah Maha Berkuasa untuk menghentikan serangan Israel.
ii. Keadilan Tuhan
- mereka mempersoalkan bagaimana Tuhan yang adil tidak memberi nasib yang sama dalam kalangan manusia.
iii. Rasionalisme sains 
- mereka dapati wujudnya polemik dalam sumber agama dalam menjustifikasikan perkara yang bertentangan dengan logik akal. Contohnya, peristiwa Israk Mikraj dianggap ateis sebagai perkara bertentangan dengan akal rasional.  

Perkara ini menunjukkan salah faham terhadap ‘makna Tuhan’ sehingga menyebabkan golongan ateis berpandangan Tuhan zalim kerana tidak dapat menghapus kejahatan dan keburukan di dunia. Sedangkan dari perspektif Islam, kejahatan dan penderitaan boleh difahami sebagai bentuk ujian, kehendak bebas manusia serta wujud balasan akhirat dalam memahami keadilan Tuhan.

Justeru itu, keperluan maksima terhadap penjelasan konsep ‘Tuhan’ dalam Islam secara komprehensif perlu dilakukan segera oleh pihak bertanggungjawab seperti jabatan agama, institusi pendidikan, pertubuhan NGO, mahupun ibu bapa, agar dapat membina kefahaman yang seimbang dan rasional tentang keadilan Ilahi, seterusnya merungkaikan kekeliruan yang menjadi asas kepada penolakan terhadap kewujudan Tuhan. 

Sumber: Journal of Islamic, Social, Economics and Development (JISED), 2025 – Universiti Islam Selangor


Comments