Baru-baru ini tular di media sosial sebuah video yang memaparkan seorang lelaki hadir ke majlis perkahwinan rakannya dengan membawa hadiah berupa magic tissue. Perbuatan tersebut mengundang kecaman warganet kerana dianggap tidak sopan dan mencemarkan kesucian majlis walaupun ia dikatakan sekadar gurauan.
Hakikatnya, majlis perkahwinan dalam Islam bukan sekadar acara sosial, tetapi satu ibadah yang penuh dengan keberkatan dan doa. Rasulullah SAW sendiri menganjurkan umatnya agar menghebahkan pernikahan dengan cara yang baik dan beradab, bukan dengan perkara yang menjatuhkan maruah atau mengundang fitnah.
Islam amat menitikberatkan adab dan akhlak dalam setiap perbuatan. Gurauan yang melampaui batas sehingga memalukan atau menyinggung perasaan orang lain adalah dilarang. Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka” (QS Al - Hujurat: 11).
Perbuatan membawa hadiah yang berunsur lucah atau tidak senonoh ke majlis perkahwinan jelas bercanggah dengan nilai kesopanan Islam, apatah lagi apabila ia dilakukan di hadapan tetamu dan disebarkan pula ke media sosial.
Sebagai umat Islam, kita seharusnya memahami bahawa perkahwinan adalah permulaan kepada kehidupan baharu yang dibina atas dasar iman, tanggungjawab dan sakinah. Setiap tetamu yang hadir membawa peranan untuk mendoakan dan menyokong pasangan pengantin, bukan menjadi punca hilangnya keberkatan majlis. Rasulullah SAW bersabda:
"Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik akhlaknya." (HR Bukhari).
Isu ini seharusnya menjadi peringatan kepada masyarakat agar lebih peka terhadap adab dalam bergurau dan bertindak, terutamanya dalam majlis yang mulia. Jangan kerana ingin meraih perhatian atau hiburan, kita sanggup mengorbankan adab dan nilai agama. Semoga setiap perkahwinan yang diraikan sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan Allah SWT, serta dijauhkan daripada perkara yang mencemarkan kesuciannya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment