MENANGANI JENAYAH GROOMING DAN PEDOFILIA: SERUAN ISLAM UNTUK MEMELIHARA MARUAH DAN KESELAMATAN ANAK-ANAK

 


Dalam era digital dan terbuka hari ini, jenayah grooming dan pedofilia semakin membimbangkan. Lebih merunsingkan, terdapat kes yang berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi benteng keselamatan buat anak-anak: rumah, sekolah, institusi pendidikan agama, bahkan komuniti sendiri. Islam sebagai agama yang syumul memerintahkan umatnya untuk melindungi golongan lemah, menjaga maruah manusia, serta menegakkan keadilan.

Al – Quran menekankan pentingnya memelihara amanah, termasuk amanah untuk menjaga anak-anak daripada sebarang bentuk kemudaratan. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya...” (QS An – Nisa’: 58).

Anak-anak adalah amanah yang mesti dipertanggungjawabkan oleh ibu bapa, pendidik dan seluruh masyarakat. Islam juga melarang keras segala bentuk perbuatan mendekati zina serta perbuatan keji yang merosakkan maruah manusia:

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS Al – Isra’: 32).

Ayat ini bukan sahaja melarang zina secara zahir, tetapi semua pintu ke arah kerosakan seksual termasuk perbuatan seksual terhadap kanak-kanak, eksploitasi, sentuhan tidak wajar, dan komunikasi yang membawa kepada pengaruh buruk terhadap mereka. Rasulullah SAW menegaskan peranan setiap individu dalam masyarakat:

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin...” (HR Bukhari dan Muslim).

Ini bermaksud ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, dan sesiapa sahaja yang mempunyai peranan terhadap anak-anak bertanggungjawab memastikan keselamatan dan pendidikan moral mereka. Dalam hadis lain, Baginda SAW turut bersabda:

“Tidak boleh memberi mudarat dan tidak boleh membalas mudarat.” (HR Ibnu Majah).

Maka dari hadis di atas cukup menjelaskan bahawa segala bentuk ancaman, penderaan dan eksploitasi terhadap kanak – kanak adalah dilarang sama sekali.

Jadi, macam mana kita mahu menangani permasalahan ini? Berikut beberapa cadangan penting untuk kita tangani jenayah ini secara kolektif:

1. Peranan ibu bapa: pendidikan seawal mungkin.

Ajar anak konsep “body safety” dan batas aurat.
Gunakan istilah anggota badan yang betul (medikal) agar anak dapat melapor dengan jelas jika berlaku sesuatu.
Beritahu anak bahawa tiada siapa berhak menyentuh mereka tanpa sebab yang sah.
Wujudkan hubungan yang terbuka agar anak tidak takut melapor.

2. Peranan sekolah dan institusi pendidikan.

Melaksanakan modul keselamatan kanak-kanak termasuk keselamatan digital.
Memastikan guru, warden, dan kakitangan diperiksa latar belakangnya.
Memastikan sekolah memiliki saluran aduan yang mudah, rahsia dan selamat.

3. Peranan masjid dan institusi agama.

Mengadakan ceramah berkala mengenai perlindungan anak dan isu moral.
Tidak menutup kes salah laku “atas nama menjaga imej”, sebaliknya melaporkan kepada pihak berkuasa.
Menyebarkan kefahaman bahawa melindungi pelaku adalah satu pengkhianatan.

4. Peranan kerajaan dan penguatkuasaan.

Meningkatkan hukuman bagi kes melibatkan kanak-kanak.
Unit khas polis untuk kes seksual kanak-kanak mesti diperkukuhkan.
Kawal selia ketat terhadap platform digital dan permainan atas talian yang sering menjadi laluan grooming.

5. Kesedaran komuniti.

Jangan ambil mudah perubahan tingkah laku kanak-kanak—seperti ketakutan, kemurungan, atau menjauhkan diri.
Masyarakat perlu berhenti daripada budaya menyalahkan mangsa.
Amalkan budaya “intervene and report” apabila melihat sesuatu yang mencurigakan.

Kanak-kanak adalah generasi pewaris dan cairan masa depan negara serta agama. Melindungi mereka bukan sekadar usaha sosial, tetapi ibadah yang besar nilai di sisi Allah SWT. Rasulullah SAW amat menegur keras mereka yang mengabaikan tanggungjawab terhadap golongan lemah. Maka adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk berganding bahu menamatkan jenayah yang merosakkan institusi masyarakat ini. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada kita untuk menjaga amanah yang diamanahkan kepada kita dan melindungi generasi masa depan daripada bahaya yang semakin meningkat.

Sumber: Facebook Mohd Fadli Salleh (https://www.facebook.com/share/1CoQgxDNoC/)


Comments