PENYELEWENGAN AKIDAH AJARAN SESAT QADIANI




Pengenalan

Nama pengasas: Mirza Ghulam Ahmad bin Ghulam Murtadha bin Atta Muhammad

Asal: India

Bertapak di Malaysia: tahun 1930 di Batu 20, Jeram, Kuala Selangor

Nama lain: Ajaran Ahmadi, Ajaran Ahmadiyyat, Ajaran Ahmadiyah

Dakwaan Pengasas Ajaran Qadiani

i. Mendakwa dirinya sebagai nabi yang menerima wahyu Allah;

ii. Mendakwa dirinya sebagai Isa al-Masih; 

- mempercayai Nabi Isa AS telah mati dan kuburnya di Sinagar, India

iii. Mendakwa dirinya mempunyai lebih dari satu juta mukjizat;

iv. Mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi selepas mengaku dirinya sebagai Mujaddid (seseorang yang dipercayai dihantar oleh Allah di awal setiap kurun untuk memulihkan kembali Islam)

v. Menafikan konsep jihad;

vi. Melakukan tahrif al-Quran;

- iaitu mengubah ayat-ayat al-Quran mengikut kehendaknya sendiri agar bertepatan dengan dakwaan-dakwaannya

vii. Mendakwa malaikat sebagai pancaindera tuhan.


Isu dakwaan Istana Selangor lindungi ajaran sesat Qadiani

Pada 8 Disember 2025, tular di platform Tiktok berhubung dakwaan penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama Islam di Selangor bahawa JAIS sukar dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap Qadiani kerana dinaungi oleh orang atasan yang ada hubungan dengan pihak istana. 

JAIS menyifatkan kenyataan penceramah itu tidak bertanggungjawab dan suatu perbuatan menghina Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam bagi Negeri Selangor dan ketegasan baginda dalam mengekang sebarang penyelewengan akidah dan ajaran sesat di negeri ini.

Sebab apa dakwaan penceramah tersebut tidak berasas?

Jika disorot sejarah lama, pada 15 Disember 1953, telah diadakan perbahasan antara kumpulan ini dengan para alim ulama di hadapan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah. Hasil perbincangan tersebut telah diputuskan bahawa ajaran Qadiani tidak diiktiraf sebagai ajaran Islam. Perbicaraan yang diadakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan Sultan Selangor menghukumkan mereka kafir dan telah murtad.


Keputusan Fatwa Selangor

Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa Ajaran Qadiani adalah ajaran yang menyalahi ajaran Islam yang sebenarya. Pengikut-pengikut Ajaran Qadiani telah dihukumkan kafir dan telah murtad oleh ulama Islam serata dunia. Maka, wajiblah dituntut mereka bertaubat dan kembali kepada Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah.  

Kesimpulannya, umat Islam khususnya di negara ini perlulah menjauhkan diri daripada segala bentuk ajaran dalam fahaman yang meragukan. Akidah Islam berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan di negara ini mestilah sentiasa dihayati agar sebarang anasir perosak akidah dapat dijauhi.


Sumber: Majlis Agama Islam Selangor dan Harian Metro- 24 DIS 2025

Comments