PUSAT PEMANTAPAN AKIDAH SEBAGAI ‘ONE STOP CENTRE’ MEMULIHKAN AKIDAH GOLONGAN TERSASAR


Gejala kerosakan akidah seperti ajaran salah yang sentiasa berkembang dan menular saban hari perlu dipandang serius dalam usaha memelihara akidah umat. Oleh sebab itu, wujudnya hukuman bagi kesalahan jenayah syariah bukan sahaja untuk membataskan diri pelaku dari terkeluar dari normalisasi syariat yang telah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah, malah bagi menghalang fitnah dari berleluasa dalam masyarakat Islam. 

Pada masa yang sama, golongan yang tersasar ini perlu diberikan penjelasan dan jawapan kepada persoalan serta kekeliruan mereka. Dengan ini, majlis agama setiap negeri telah mewujudkan Pusat Pemurnian Akidah atau Pusat Pemantapan Akidah bagi memulihkan pesalah akidah dan membetulkan semula salah laku akidah sehingga mereka bertaubat ke arah jalan yang benar sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Mereka akan dibantu dengan modul sokongan dari segi kerohanian, sosial, psikologi, perkhidmatan, ekonomi dan kemasyarakatan sebagai langkah persediaan mengamalkan ajaran Islam sebenar dan menjalani rutin harian bersama masyarakat umum setelah proses istitabah (taubat) dilakukan. 

Kesimpulannya, kesalahan akidah merupakan perkara yang serius dan tidak boleh dipandang remeh. Penularan ajaran dan pemikiran salah merupakan ancaman kepada masyarakat Islam dari masa ke masa. Makanya, selain dari hukuman, inisiatif seperti program pemulihan akidah ini diharapkan dapat membimbing bekas pengikut yang masih terikat dengan amalan menyeleweng daripada terus terpesong dan kembali ke jalan yang benar.  

Sumber: JAKIM dan Harian Metro – 30 NOV 2025


 

Comments