TREND MALL MESRA HAIWAN: ANTARA GAYA HIDUP MODEN & SENSITIVITI MUSLIM MALAYSIA


Kebelakangan ini, Malaysia mula menyaksikan kemunculan trend mall mesra haiwan, khususnya membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan seperti anjing ke dalam pusat beli-belah. Antara contoh yang mencetuskan perbincangan awam ialah isu melibatkan Sunway Square Mall, yang pada awalnya memperkenalkan polisi mesra haiwan sebelum menarik semula dasar tersebut susulan reaksi masyarakat dan kebimbangan sensitiviti agama. Fenomena ini turut tular di media sosial dan membuka ruang perdebatan tentang kesesuaian trend luar negara diaplikasikan dalam konteks tempatan.

Malaysia merupakan negara majoriti umat Islam, dengan Islam termaktub sebagai agama Persekutuan. Justeru, sensitiviti agama tidak boleh dipandang ringan. Dalam Islam, anjing dikategorikan sebagai najis ‘mughallazah’. Risiko pencemaran boleh berlaku apabila haiwan ini berada di kawasan awam yang sempit seperti pusat beli-belah, termasuk sentuhan tidak sengaja pada pakaian, lif, eskalator, meja makan dan premis makanan halal. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesucian, kebersihan serta keyakinan umat Islam dalam menjalani kehidupan seharian.

Tidak dinafikan, di luar negara trend mall mesra haiwan dianggap normal dan sebahagian gaya hidup moden. Namun, realiti sosial dan keagamaan Malaysia adalah berbeza. Penolakan terhadap normalisasi trend ini bukan tanda masyarakat tertutup atau tidak maju, sebaliknya satu usaha untuk mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan latar belakang.

Dari sudut hukum, majoriti ulama bersepakat bahawa umat Islam perlu mengelakkan sentuhan najis ‘mughallazah’ kecuali dalam keadaan darurat. Walaupun Malaysia mengamalkan sistem pentadbiran yang bersifat sekular dalam aspek tertentu, dasar awam dan polisi komersial tetap wajar mengambil kira realiti agama dan sensitiviti masyarakat majoriti, termasuk isu status halal dan keyakinan pengguna Muslim.

Kesimpulannya, trend mall mesra haiwan perlu dinilai secara berhikmah dan kontekstual. Sebagai negara majoriti umat Islam, Malaysia perlu mengutamakan sensitiviti agama, kesejahteraan awam dan keharmonian nasional. Keterbukaan dan kemajuan tidak seharusnya mengorbankan nilai, sebaliknya kemajuan sebenar ialah apabila semua pihak dapat hidup bersama dalam suasana saling menghormati.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia –DIS 2025 dan Sinar Harian – 18 DIS 2025

Comments