UJIAN BENCANA DAN UJIAN AKHLAK: BAHAYA SIFAT SOMBONG DALAM NIKMAT DAN MUSIBAH

 


Baru-baru ini, satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang menteri Indonesia berhubung bantuan Malaysia susulan tragedi banjir di Aceh Tamiang telah mencetuskan kritikan ramai. Kenyataan yang menyifatkan bantuan tersebut sebagai “tidak seberapa” dianggap oleh netizen sebagai sombong dan tidak beradab, sehingga ada yang membandingkannya dengan sikap bongkak rejim Israel yang sering meremehkan bantuan dan penderitaan pihak lain.

Isu ini bukan sekadar isu politik atau hubungan dua negara serumpun, tetapi isu akhlak dan adab dalam menghadapi ujian, khususnya menurut neraca Islam. Dalam Islam, musibah bukan hanya ujian kesabaran, tetapi juga ujian akhlak dan hati. Ketika ditimpa bencana, seorang Muslim diajar untuk merendahkan diri, mengakui kelemahan, dan mensyukuri setiap bantuan walaupun kecil. Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS Al - Baqarah: 155).

Musibah bukan ruang untuk meninggi suara dan merendahkan orang lain, tetapi medan untuk menunjukkan tawaduk dan kesyukuran. Dalam Islam, meremehkan kebaikan orang lain adalah satu bentuk kesombongan. Rasulullah SAW bersabda:

"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada seberat zarah sifat sombong.” (HR Muslim).

Apabila bantuan yang diberikan dengan niat baik dipandang rendah, ia bukan sahaja melukai perasaan pemberi, tetapi mencerminkan penyakit hati yang berbahaya — takabbur dan ujub. Islam mengajar bahawa nilai sesuatu bukan diukur pada kuantiti semata-mata, tetapi pada niat dan keikhlasan.

Allah SWT mengingatkan:

"Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu.” (QS Ibrahim: 7).

Sebaliknya, sikap merungut, meremeh dan memperkecilkan bantuan boleh mengundang hilangnya keberkatan, walaupun bantuan yang lebih besar datang selepas itu. Rasulullah SAW juga bersabda:

"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah.”
(HR. Abu Daud)

Maka, berterima kasih atas setiap bentuk bantuan adalah tanda iman, bukan tanda kelemahan. 

Malaysia dan Indonesia bukan sekadar jiran, tetapi negara serumpun yang diikat oleh agama, sejarah dan budaya. Dalam Islam, ukhuwah lebih utama daripada ego politik. Bantuan yang diberikan, walaupun kecil pada pandangan manusia, adalah lambang persaudaraan dan ihsan. Merendahkannya bererti meremehkan ukhuwah itu sendiri.

Bencana alam seharusnya melembutkan hati, bukan mengeraskan lidah. Mengajar kita bersyukur, bukan mencela. Menyatukan, bukan memecahkan. Setiap bantuan adalah rahmat. Setiap niat baik adalah amanah.

Semoga semua pihak — pemimpin dan rakyat — mengambil iktibar bahawa akhlak yang baik lebih bernilai daripada kuasa dan jawatan, dan sifat tawaduk lebih mulia daripada kenyataan yang meninggi diri. Kerana di sisi Allah SWT, yang paling mulia bukan yang paling lantang, tetapi yang paling bertakwa.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments