‘USTAZ TIDO’: PENUNGGANG AGAMA DI MEDIA SOSIAL


Di zaman media sosial kini, umat Islam disajikan dengan pelbagai konten agama di pelbagai platform. Ramai yang bergelar ustaz dan ustazah ‘online’, tampil dengan pelbagai gaya dan pendekatan untuk menarik perhatian orang ramai. Namun, disebalik kemudahan ini, timbul satu fenomena yang merisaukan iaitu penunggang agama.

Istilah penunggang agama merujuk kepada individu yang menggunakan agama sebagai topeng atau alat untuk mencapai matlamat peribadi seperti populariti, kekuasaan atau kekayaan. Mereka sering memutarbelitkan ayat-ayat al-Quran dan hadis, menafsirkan hukum Islam mengikut hawa nafsu dan seumpamanya. Perbuatan ini sangat bahaya kerana bukan sahaja mengelirukan umat Islam, malah boleh membawa kepada kesesatan dan perpecahan ummah.

Contohnya, tular seorang ustaz di Tiktok yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Ustaz Tido’. Beliau yang menjustifikasikan maksud tido iaitu T (taklim), I (iman), D (dakwah) dan O (orang) telah menarik ramai penonton dengan caranya bertindak balas dengan reaksi yan g pelbagai berdasarkan ‘gift’ yang diberi penonton. Jika penonton memilih ‘gift’ berjoget, beliau akan berjoget, jika ‘gift’ selawat, beliau akan memakai kopiah lalu mengalunkan selawat. Begitulah tingkahlaku ‘Ustaz Tido’ yang ditunjukkan sepanjang ‘live’, sering bertukar-tukar karakter kerana ‘gift’. Bahkan, jika ada yang menegur perbuatannya, beliau tidak boleh terima dan terus ‘naik angin’.

Hal ini telah mendapat perhatian umum dan rata-ratanya mengecam tindakan ‘Ustaz Tido’ yang dikatakan sebagai penunggang agama dan merosakkan imej Islam kerana membawa imej ustaz. Kecaman tersebut telah membawa kepada pengakuan bahawa beliau tidak mempunyai tauliah daripada mana-mana jabatan agama untuk mengajarkan al-Quran kepada masyarakat. Beliau juga mengakui hanya berlatar belakangkan lepasan sekolah agama di Johor, malah bertindak menukar nama panggilannya daripada Ustaz Tido kepada Bro Tido.

Imam al-Ghazali dalam karyanya menyentuh tentang ulama su’ (ulama yang jahat) yang menggunakan ilmu agama untuk mendapatkan kedudukan dan harta. Beliau mengingatkan bahawa ilmu sepatutnya mendekatkan seseorang kepada Allah SWT, bukan kepada hal-hal keduniaan. 

Justeru itu, sedarlah bahawa perbuatan menunggang agama bukan sahaja mencemarkan nama baik Islam, tetapi juga merosakkan akidah umat. Islam mengajar kita untuk mencari ilmu daripada sumber yang sahih iaitu al-Quran dan hadis, serta merujuk kepada para ulama yang muktabar dan berpegang teguh pada prinsip-prinsip Islam.

Sumber: Youtube Shihabudin Ahmad dan waktusolat.digital

Comments