Mutakhir ini, kita semakin kerap menyaksikan kemerosotan adab dan sahsiah dalam kalangan golongan belia dan kanak-kanak. Fenomena ini bukan lagi isu terpencil, malah semakin ketara dan membimbangkan. Keadaan ini diperhebatkan lagi dengan suasana media sosial yang sarat dengan kisah ibu bapa mempertikai guru, memviralkan isu disiplin sekolah, malah ada yang sanggup menghina para pendidik secara terbuka tanpa menyelidik kebenaran yang sebenar.
Hakikatnya, apa yang berlaku ini bukan sekadar konflik antara ibu bapa dan guru, tetapi mencerminkan krisis adab dalam masyarakat. Apabila adab diketepikan, maka hilanglah hikmah dalam menilai sesuatu perkara. Sedangkan Allah SWT telah mengingatkan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan kejahilan, lalu kamu menyesali perbuatan kamu itu.” (QS Al – Hujurat: 6).
Ayat ini jelas mengajar umat Islam agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan, apatah lagi menyebarkan sesuatu perkara yang belum dipastikan kebenarannya. Namun realitinya hari ini, emosi sering mendahului akal, dan media sosial menjadi medan penghukuman terbuka.
Lebih menyedihkan, anak-anak yang masih mentah menjadi saksi kepada sikap ini. Mereka membesar dengan kefahaman bahawa mencabar autoriti, meninggikan suara dan merendahkan orang lain adalah perkara biasa. Sedangkan Rasulullah SAW diutus bukan semata-mata membawa ilmu, tetapi untuk membina akhlak:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (HR Ahmad).
Dalam tradisi keilmuan Islam, adab sentiasa didahulukan sebelum ilmu. Para ulama silam sangat menekankan perkara ini. Ilmu tanpa adab akan melahirkan manusia yang angkuh, manakala adab yang berpaksikan iman akan melahirkan insan yang seimbang dan bermanfaat. Allah SWT berfirman:
“Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat.” (QS Al – Mujadalah: 11).
Namun perlu difahami, darjat ilmu yang diangkat oleh Allah SWT adalah ilmu yang disertai iman dan adab, bukan ilmu yang digunakan untuk mempertahankan ego dan hawa nafsu. Dalam konteks pendidikan hari ini, guru sering menjadi sasaran apabila berlaku isu disiplin. Hakikatnya, guru adalah rakan seperjuangan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Islam sendiri mengajar kita agar menghormati orang yang menyampaikan ilmu. Sabda Rasulullah SAW:
“Bukan daripada golongan kami orang yang tidak menghormati yang lebih tua dan tidak menyayangi yang lebih muda, serta tidak mengetahui hak orang yang mengajar.” (HR Ahmad).
Anak-anak pula bukan milik mutlak ibu bapa. Mereka adalah amanah Allah yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka.” (QS At – Tahrim: 6).
Amanah ini menuntut ibu bapa mendidik dengan ilmu, hikmah dan akhlak. Apabila ibu bapa sendiri gagal menjaga tutur kata, gagal menghormati guru dan gagal mengawal emosi, maka mesej yang sampai kepada anak-anak ialah adab itu tidak penting.
Budaya memviralkan isu disiplin sekolah pula telah menghakis kefahaman tentang konsep tarbiah dalam Islam. Sedangkan teguran dan disiplin adalah sebahagian daripada kasih sayang. Rasulullah SAW bersabda:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpinnya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Maka ibu bapa akan dipersoalkan tentang kepimpinan mereka dalam mendidik anak-anak, bukan sekadar mempertahankan mereka tanpa hikmah.
Sudah tiba masanya kita kembali bermuhasabah. Ibu bapa perlu mendidik diri sebelum mendidik anak. Media sosial bukan tempat melampiaskan kemarahan, tetapi amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT. Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan dipertanggungjawabkan.” (QS Al – Isra’: 36).
Jika kita benar-benar menginginkan generasi berilmu, berakhlak dan bertakwa, maka adab mesti didahulukan. Kerana daripada adab lahir keberkatan ilmu, dan daripada keberkatan itulah terbinanya generasi yang dirahmati Allah SWT. Adab dulu, baru ilmu. Bukan sekadar slogan, tetapi prinsip pendidikan Islam yang wajib kita hidupkan kembali.
Sumber: Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Comments
Post a Comment