Baru-baru ini tular kandungan di media sosial yang secara terbuka menyebarkan fahaman Syiah melalui akaun Facebook dan YouTube bernama “Cinta Kebenaran”. Akaun ini didakwa dikendalikan oleh individu bernama Nasrul Khazai, anak kepada Abdullah Hassan, iaitu tokoh Syiah di Kedah.
Kandungan yang dimuat naik jelas mempromosikan doktrin Syiah dan mengelirukan umat Islam dengan hujah agama yang bercanggah daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang menjadi mazhab rasmi di Malaysia.
Antara doktrin Syiah yang disebarkan melalui akaun tersebut ialah dakwaan bahawa:
1. Dalil agama hendaklah bersumberkan Ahlul Bait.
Kenyataan ini bercanggah dengan prinsip Islam sebenar yang menetapkan sumber hukum ialah Al-Quran dan As-Sunnah
2. Umat Islam wajib berselawat ke atas Ahlul Bait dalam solat
Dalam ASWJ, selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan keluarganya memang dianjurkan. Namun Syiah memanipulasi konsep ini sehingga mengangkat Ahlul Bait secara melampau dan meminggirkan para sahabat Nabi SAW yang lain.
3. Sumber utama agama ialah dua khalifah dan Ahlul Bait
Kenyataan ini mengelirukan kerana ASWJ menerima semua Khulafa ar-Rasyidin dan para sahabat sebagai perawi hadis yang adil. Syiah pula menolak majoriti sahabat Nabi SAW dan hanya menerima tokoh tertentu, menyebabkan penyelewengan besar dalam sumber agama.
4. Mengangkat konsep imam yang maksum dan ghaib (Imam Mahdi versi Syiah)
Syiah mempercayai adanya imam yang tersembunyi dan maksum (bebas daripada dosa), sedangkan dalam Islam tiada manusia selepas Nabi Muhammad SAW yang bersifat maksum.
5. Mencela dan meragui para sahabat Nabi SAW
Antara ciri utama ajaran Syiah ialah merendahkan martabat sahabat seperti Abu Bakar, Umar dan Uthman RA, sedangkan Islam mewajibkan umatnya menghormati semua sahabat Rasulullah SAW sebagai generasi terbaik Islam.
6. Menyebarkan ajaran secara terselindung melalui slogan “cinta Ahlul Bait
Istilah ini digunakan sebagai 'pintu masuk' untuk menarik simpati umat Islam, sebelum diselitkan fahaman Syiah yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
Perlu ditegaskan bahawa Syiah telah diisytiharkan sebagai ajaran sesat di Malaysia melalui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 kerana bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh menjejaskan keharmonian umat Islam.
Justeru, sebarang penyebaran fahaman Syiah secara terbuka melalui media sosial adalah bertentangan dengan keputusan fatwa dan boleh mengelirukan masyarakat awam.
Kesimpulannya, penyebaran kandungan seperti yang dilakukan oleh akaun “Cinta Kebenaran” merupakan satu bentuk dakwah songsang yang boleh mengelirukan masyarakat awam dan merosakkan kefahaman akidah umat Islam. Umat Islam di Malaysia perlu berhati-hati dengan sebarang kandungan agama di media sosial yang tidak dirujuk kepada pihak berautoriti seperti Jabatan Mufti dan institusi agama negeri.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia_ FEB 2026, Facebook Keranda Ghulat, Youtube Cinta Kebenaran

Comments
Post a Comment