Mutakhir ini, masyarakat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan pelbagai kes rasuah yang semakin kerap terungkai. Dengan kepantasan dan ketelusan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi-agensi penguatkuasaan lain, satu demi satu pihak yang terlibat mula dibawa ke muka pengadilan. Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menegakkan keadilan, malah membuka mata masyarakat tentang betapa serius dan berbahayanya jenayah rasuah terhadap negara dan ummah.
Dalam Islam, rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, bahkan merupakan dosa besar yang mendapat kecaman keras daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW:
“Allah melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara antara kedua-duanya.” (HR Ahmad dan Abu Daud).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Islam tidak mengiktiraf sebarang alasan untuk menghalalkan rasuah. Laknat Allah SWT bukan hanya ditimpakan kepada penerima, tetapi turut merangkumi pemberi dan juga orang tengah yang menjadi penghubung. Ini bermakna seluruh rantaian rasuah adalah tercela dan membawa kerosakan yang besar.
Rasuah merosakkan nilai amanah yang menjadi tunjang kepada kepimpinan dan pentadbiran. Ia menutup pintu keadilan, menzalimi rakyat, dan menyebabkan hak diberikan bukan kepada yang layak, tetapi kepada yang mampu “membayar”. Akibatnya, jurang kaya dan miskin semakin melebar, kepercayaan terhadap institusi awam terhakis, dan keberkatan hidup dicabut sedikit demi sedikit.
Apa yang lebih membimbangkan, rasuah yang dinormalisasikan akan membentuk budaya songsang dalam masyarakat. Anak-anak membesar melihat kejayaan diraih melalui jalan pintas, bukan melalui usaha dan integriti. Sedangkan Islam mendidik umatnya supaya mencari rezeki yang halal dan diberkati, walaupun sedikit, kerana keberkatan itu lebih bernilai daripada kemewahan yang diperoleh melalui jalan haram.
Dalam konteks perkembangan semasa, tindakan tegas dan telus oleh SPRM serta agensi berkaitan wajar dilihat sebagai satu usaha amar makruf nahi mungkar di peringkat institusi. Ia memberi peringatan bahawa tiada siapa kebal daripada undang-undang, dan keadilan mesti ditegakkan tanpa memilih bulu. Namun, pencegahan rasuah tidak boleh disandarkan kepada penguatkuasaan semata-mata; ia mesti bermula daripada kesedaran iman dan ketakwaan individu.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menolak rasuah dalam apa jua bentuk—sama ada kecil atau besar, tersurat atau tersirat. Mulakan dengan diri sendiri: menolak “duit kopi”, enggan menjadi orang tengah, dan berani berkata tidak walaupun berada dalam tekanan. Sesungguhnya, Allah SWT Maha Melihat setiap perbuatan, dan setiap rezeki yang masuk ke dalam tubuh akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Akhirnya, marilah kita mengambil iktibar daripada apa yang sedang berlaku. Jadikan pendedahan kes-kes rasuah ini sebagai peringatan dan muhasabah bersama. Semoga Allah SWT memelihara negara ini daripada wabak rasuah, membersihkan pentadbiran daripada unsur khianat, dan mengurniakan pemimpin serta rakyat yang berpegang teguh kepada amanah dan integriti. Kerana sesungguhnya, keberkatan sesebuah negara tidak terletak pada kekayaan semata-mata, tetapi pada kejujuran dan keadilan yang ditegakkan.
Sumber: Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Comments
Post a Comment