FREEMASON: ADA AGENDA TERSIRAT ANCAM AKIDAH UMAT ISLAM DI MALAYSIA


Freemason adalah sebuah pertubuhan sulit Yahudi yang mempunyai hubungan rapat dengan gerakan Zionis Antarabangsa. Kegiatannya berpandukan kepada ajaran-ajaran kitab suci Yahudi. Ia ditubuhkan antara lainnya untuk membela kepentingan mereka serta mahu mengembalikan semula kerajaan Yahuza atau kerajaan Yahudi dan seterusnya menakluki atau menguasai dunia seluruhnya.

Namun begitu, pertubuhan Freemason yang semakin terdedah identiti jahatnya telah menukar cara pendekatan terhadap masyarakat dunia. Konsep terbaru yang diketengahkan Freemason memaparkan imej sebagai satu pertubuhan kebajikan dan sukarela berkhidmat untuk kepentingan orang ramai, mengeratkan ikatan persaudaraan dan kasih sayang di antara sesama anggota serta memberangsang mereka melakukan kerja-kerja kebajikan dan sukarela di samping untuk membantu golongan-golongan yang lemah dan yang memerlukan bantuan.

Konsep yang ditonjolkan seperti di atas semata-mata bertujuan untuk menarik seberapa ramai pembesar dan pemimpin-pemimpin dunia serta golongan cerdik pandai memasuki Freemason terbukti berjaya. Contohnya seperti Martin Luther, Napoleon I, Mustafa Kamal Attartuk dan banyak lagi. Oleh demikian, adalah tidak menghairankan apabila pada 15 Feb 2026, tular kisah seorang pensyarah dari Universiti Malaya bersama isterinya didakwa mempunyai kaitan dengan sebuah cawangan Freemason di luar negara. 

Freemason yang menyasarkan golongan cerdik pandai terutamanya Muslim di Malaysia seharusnya menjadi satu amaran pada Malaysia bahawa ancaman Freemason semakin berani menggoncang akidah umat Islam. Walaupun ada pihak menggambarkan Freemason sebagai organisasi kebajikan atau jaringan sosial profesional, namun sebaliknya ia adalah pertubuhan persaudaraan antarabangsa yang mempunyai struktur hierarki, ritual tertentu dan ikatan sumpah yang mempunyai unsur bercanggah dengan Islam. 

Fatwa pengharaman menyertai Freemason:
Keputusan Lajnah Daimah lil Buhuth al-Ilmiyyah wal Ifta di Arab Saudi menyatakan Freemason adalah pertubuhan yang tidak selari dengan Islam. Sesiapa yang mengetahui hakikat ajaran itu dan matlamat haluan dibawa namun tetap menyertainya, hukumnya adalah haram dan berdosa, bahkan boleh membawa kepada kerosakan akidah jika membabitkan unsur penyelewengan akidah. 

Kesimpulannya, masyarakat Melayu Islam secara tradisinya sangat sensitif terhadap isu akidah dan kesetiaan agama. Apabila ada individu Melayu Muslim menyertai Freemason atas alasan jaringan sosial, perniagaan atau elit profesional, mereka perlu menyedari bahawa yang dipersoalkan bukanlah semata-mata status sah organisasi dalam undang-undang negara, tetapi implikasi akidah dan prinsip tauhid umat Islam terhadap ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Renung-renungkan.

Sumber: Berita Harian – 15 FEB 2026 dan eJournal UM – Fakulti Usuluddin Akademi Islam

Comments