Tidak lama lagi, suasana negara akan kembali dihiasi warna merah dan emas sempena Tahun Baru Cina. Tanglung bergantungan, ucapan “Gong Xi Fa Cai” bergema, dan kunjungan ke rumah terbuka menjadi tradisi yang dinanti. Inilah wajah Malaysia, sebuah negara yang tidak asing dengan kepelbagaian budaya dan perayaan.
Sepanjang tahun, rakyat Malaysia silih berganti meraikan pelbagai perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Deepavali, Hari Krismas, Hari Gawai dan Kaamatan. Dalam kepelbagaian ini, terserlah satu hakikat penting, keharmonian tidak lahir daripada keseragaman, tetapi daripada sikap saling menghormati.
Islam tidak pernah menafikan realiti kepelbagaian. Bahkan, Al-Quran menegaskan bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali (Surah Al – Hujurat: 13). Kepelbagaian adalah sunnatullah — ketetapan Allah SWT yang mengandungi hikmah.
Tujuan kepelbagaian bukan untuk menimbulkan perpecahan, tetapi untuk membina jambatan persefahaman. Dalam konteks Malaysia, perayaan-perayaan yang disambut oleh pelbagai kaum menjadi ruang terbaik untuk kita memahami budaya, adat dan sensitiviti antara satu sama lain.
Sebagai umat Islam, prinsip akidah tetap menjadi teras. Namun dalam masa yang sama, Islam mengajar umatnya untuk berakhlak mulia terhadap semua manusia. Mengucapkan selamat perayaan, menghadiri rumah terbuka, dan meraikan jiran serta rakan sekerja dalam suasana muhibah adalah sebahagian daripada hubungan sosial (muamalah) yang diharuskan, selagi tidak terlibat dalam ritual atau unsur keagamaan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) inilah yang menjadikan Islam relevan dalam masyarakat majmuk. Kita tidak perlu mengorbankan prinsip, dan dalam masa yang sama tidak bersikap eksklusif sehingga menjarakkan diri daripada masyarakat.
Perayaan umat Islam sendiri seperti Hari Raya bukan sekadar peristiwa ibadah dan kemenangan rohani, tetapi juga peluang memperlihatkan keindahan Islam. Konsep rumah terbuka yang diamalkan di Malaysia membolehkan tetamu pelbagai kaum merasai suasana harmoni, menikmati juadah tradisional, dan melihat sendiri nilai kasih sayang serta kemaafan yang dianjurkan Islam.
Akhlak seorang Muslim ketika menerima tetamu bukan Islam — layanan mesra, tutur kata yang baik dan sikap menghormati, sebenarnya adalah dakwah tanpa paksaan. Islam tersebar bukan hanya melalui hujah, tetapi melalui contoh teladan. Dalam tradisi Islam, ukhuwah bukan hanya terbatas kepada sesama Muslim (ukhuwah Islamiyyah), tetapi juga merangkumi ukhuwah insaniah, persaudaraan sesama manusia.
Sebagai rakyat Malaysia, kita turut terikat dengan ukhuwah wathaniyyah, iaitu persaudaraan sebangsa dan setanah air. Keamanan dan kestabilan negara adalah amanah bersama. Perayaan yang disambut dengan penuh hormat dan tertib menyumbang kepada kestabilan sosial serta mengelakkan prasangka antara kaum.
Tidak banyak negara yang mampu meraikan kepelbagaian seperti Malaysia. Laungan takbir bergema ketika Aidilfitri, dentuman mercun Tahun Baru Cina menghiasi malam, cahaya pelita Deepavali menerangi halaman, dan nyanyian carol Krismas berkumandang di pusat beli-belah. Semuanya a wujud dalam ruang negara yang sama tanpa menafikan identiti masing-masing.
Dalam laungan “Gong Xi Fa Cai”, takbir raya dan cahaya perayaan yang berwarna-warni, tersembunyi satu mesej besar: Malaysia kuat bukan kerana kita serupa, tetapi kerana kita memilih untuk saling menghormati.
Islam sebagai agama rahmah menyeru umatnya menjadi jambatan, bukan tembok pemisah. Dalam menyambut kepelbagaian perayaan, kita bukan sekadar meraikan budaya, tetapi sedang memupuk ukhuwah dan membina masa depan negara yang lebih harmoni.
Semoga setiap perayaan yang menjelma menjadi medan memperkukuh silaturrahim, menyemai persefahaman dan membuktikan bahawa kepelbagaian adalah anugerah, bukan ancaman.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Comments
Post a Comment