Konsep kesenian merujuk kepada aktiviti seni atau hasil karya yang dicipta dengan menggunakan bakat dan kreativiti manusia bagi menzahirkan keindahan dan kehalusan karya. Bagi umat Islam, mereka terikat dengan peraturan agama sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Bagi seni perfileman negara, kini ianya dicemari dan dipengaruhi dengan pemikiran liberal apabila penggiat seni dilihat hilang sensitiviti terhadap kesucian agama terutama Islam yang sepatutnya dihormati sebagai agama rasmi. Golongan seperti ini tidak peduli kepada kesan aktiviti seni yang dihasilkan terhadap kerosakan kepercayaan dan tingkah laku penonton, yang dipentingkan adalah kepuasan di samping keuntungan material yang diraih.
Oleh sebab liberalisme telah menguasai pemikiran, ada pengarah yang menyajikan adegan berkemban yang melibatkan pelakon beragama Islam. Malah pelakon berkenaan meskipun sedar babak tersebut mungkin mengundang persepsi negatif, namun beliau memilih untuk melihatnya dari sudut seni dan tuntutan skrip. Beliau juga menganggap bahawa sebagai seorang pelakon, dia harus berani menggalas tanggungjawab asalkan masih dalam batasan yang boleh diterima dan sambil ketawa menyatakan dia bersedia untuk menerima kecaman.
Inilah hakikat sebenar industri seni di Malaysia yang kian dipengaruhi oleh pengaruh liberal sehingga karya dan anak seni tanpa sedar mereka telah mempersendakan hukum-hukum Islam, memperkotak-katikkan mengikut kemahuan mereka. Penghasilan karya sebegini adalah contoh penyalahgunaan bidang kesenian untuk menyesatkan hamba-hamba Allah SWT daripada jalan yang benar.
Sedangkan karya seni sepatutnya berperanan membantu ke arah menanam dan menyuburkan nilai-nilai murni yang diperlukan untuk pembangunan negara dan mengembangkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat tanpa terkeluar dari batas-batas syarak. Justeru itu, sedarlah bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berhibur atau memaparkan bakat seni yang ada dalam diri, tetapi sebagai umat Islam batas-batas yang seharusnya dijaga perlulah dipatuhi sebaiknya demi menjaga akidah dan kesucian agama Islam itu sendiri.
Sumber: Utusan Malaysia – 15 FEB 2026

Comments
Post a Comment