LELAKI DAKWA RASUL AKHIR ZAMAN: WASPADA ANCAMAN AJARAN YANG MENYELEWENG

Islam dan umatnya tidak pernah sunyi daripada ancaman dan cubaan yang menganggu-gugat kesucian pegangan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dari segi akidah, syariah dan akhlak penganutnya. Penularan ajaran sesat khususnya di Malaysia jika diperhalusi bukan sahaja datang daripada musuh Islam yang nyata, tetapi juga dari cubaan mengelirukan dan menyelewengkan umat Islam dengan menggunakan nama ‘Islam’ kononya demi menjaga kesucian agama ini.

Hal inilah yang berlaku pada 21 FEB 2026 yang lalu, apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang didakwa mengaku sebagai rasul akhir zaman bersama-sama tiga lagi individu yang dipercayai sebagai pengikutnya, termasuk seorang wanita di sebuah premis di Rawang. Lelaki tersebut turut mendakwa telah bertemu dengan Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang, manakala bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada sebelah malam. 

Beliau juga mendakwa bertemu dengan para rasul yang lain sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu. Pada masa yang sama, pengikutnya turut mengiktiraf ketuanya itu sebagai utusan Allah SWT dan segala perlakuannya dianggap sebagai suruhan Allah SWT seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika letih serta uzur. Jika kerap berjumpa keluarga, maka pengikut dianggap sebagai mensyirikkan Allah kerana meninggalkan ‘rasul’, pengikut juga akan dipukul jika menentang atau mempertikaikan perbuatan serta ajarannya.

Berdepan dengan situasi ini, umat Islam seharusnya sedar bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan nabi dan rasul terakhir dan tiada lagi nabi atau rasul yang akan diutus selepas itu. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 40, maksudnya:

“Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang daripada orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahannya segala Nabi-Nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Justeru itu, nyatalah bahawa dakwaan-dakwaan sebagai nabi atau rasul selepas daripada Baginda Muhammad SAW adalah dakwaan palsu yang sesat lagi menyesatkan. Moga kita sebagai umat Islam, sentiasa berpegang teguh dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan-dakwaan palsu yang boleh memesongkan dari ajaran Islam sebenar. 

Sumber: Bernama – 22 FEB 2026 dan Harian Metro – 23 FEB 2026

Comments