MANUSIA AKHIR ZAMAN BANGGA MENAYANG DOSA

 


MANUSIA AKHIR ZAMAN BANGGA MENAYANG DOSA

Antara tanda kerosakan akhlak manusia di akhir zaman ialah apabila dosa tidak lagi disembunyikan, bahkan dibanggakan dan ditayangkan kepada umum. Lebih membimbangkan, maksiat bukan sahaja dilakukan secara terbuka, malah disebarkan melalui pelbagai medium sehingga menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Fenomena ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga maruah, menutup aib serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Dalam Islam, perbuatan bangga menayang dosa atau menzahirkan maksiat secara terang-terangan dikategorikan sebagai perbuatan mujahirin, iaitu golongan yang tidak akan diampunkan dosanya selagi mana dia terus bermegah dengan maksiat tersebut. Hal ini berdasarkan hadis sahih daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (HR Bukhari).

Hadis ini memberikan peringatan yang sangat keras. Allah SWT dengan sifat-Nya Yang Maha Pengampun telah menutup aib hamba-Nya. Namun, apabila seseorang itu sendiri membuka dan menyebarkan aibnya, seolah-olah dia mencabar hukum Allah dan meremehkan kemurkaan-Nya. Perbuatan ini juga menunjukkan hilangnya sifat malu, sedangkan malu adalah benteng iman. Sabda Rasulullah SAW:

“Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.” (HR Muslim).

Hadis ini menjelaskan bahawa fitrah seorang mukmin akan merasa gelisah apabila melakukan dosa dan tidak suka jika perbuatannya diketahui orang lain. Jika perasaan malu itu telah hilang sehingga dosa dipamerkan tanpa rasa bersalah, maka itu petanda hati telah sakit dan jauh daripada cahaya iman. Ulama menjelaskan bahawa terdapat dua kategori individu yang dikira sebagai al-mujahir:

1)  Seseorang yang melakukan maksiat secara terbuka di hadapan orang ramai. Dia bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, bahkan turut berdosa kerana menjadi contoh dan pendorong kepada orang lain untuk melakukan maksiat yang sama.
2)  Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi, kemudian menceritakannya kepada orang lain dengan rasa bangga atau tanpa rasa penyesalan. Ini termasuk dalam perbuatan membuka aib yang telah Allah tutupkan.

Perbuatan mendedahkan maksiat secara terang-terangan tergolong dalam dosa besar kerana ia merosakkan nilai masyarakat, menghakis rasa malu serta menormalisasikan kemungkaran. Dalam era media sosial, perbuatan ini menjadi semakin berleluasa apabila dosa dijadikan bahan hiburan, kandungan tontonan dan kebanggaan demi meraih perhatian.

Seorang Muslim yang beriman tidak sewajarnya merasa bangga dengan menyebarkan atau menayangkan dosa dan maksiatnya di khalayak ramai. Sebaliknya, apabila terlanjur melakukan dosa, hendaklah segera bertaubat dengan taubat yang sebenar-benarnya, menyesali perbuatan tersebut, berhenti daripadanya dan berazam untuk tidak mengulanginya.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Selagi mana pintu taubat terbuka, janganlah kita menjadi golongan yang rugi kerana memilih untuk berbangga dengan dosa. Marilah kita memelihara maruah diri, menjaga rasa malu dan kembali menghidupkan budaya menutup aib serta memperbanyakkan taubat agar hidup sentiasa berada dalam rahmat dan keampunan-Nya.

Sumber: Portal Dr. Zulkifli Al - Bakri

Comments