Kes penahanan tiga lelaki india di Klang Utara yang terlibat dalam penyebaran kandungan berunsur provokasi di media sosial wajar dijadikan pengajaran kepada masyarakat bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencetuskan kebencian dan perpecahan. Provokasi yang menyentuh isu perkauman, agama dan sentimen kebencian boleh menggugat ketenteraman awam serta menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Perbuatan menghasut atau menyemarakkan sentimen perkauman dan keagamaan boleh disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 serta undang-undang berkaitan keselamatan dan komunikasi. Undang-undang ini bertujuan mencegah sebarang tindakan yang boleh membawa kepada kekacauan, konflik sosial dan ancaman ekstremisme.
Malaysia sebagai negara berbilang kaum, bangsa dan agama menuntut rakyatnya supaya lebih beradab dalam berkomunikasi, sama ada di dunia nyata atau alam maya. Menghormati kepelbagaian dan menolak budaya provokasi adalah asas penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.
Justeru itu, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kebebasan bersuara perlu disertai dengan tanggungjawab. Berfikir sebelum menulis, menapis sebelum berkongsi dan elakkan kandungan yang bersifat menghina atau mengapi-apikan sentimen adalah langkah awal untuk memastikan negara terus aman dan stabil.
Sumber: Astro Awani - 08 FEB 2026
Comments
Post a Comment