Bulan Ramadan al-Mubarak, bulan yang padanya diturunkan al-Quran, bulan yang dipenuhi rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Namun persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia menyambutnya sebagai satu ibadah, atau sekadar sebagai satu rutin tahunan? Allah SWT berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS Al – Baqarah: 183).
Ayat ini menjelaskan bahawa matlamat utama Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi membentuk takwa - iaitu rasa takut dan tunduk kepada Allah SWT dalam setiap keadaan. Puasa adalah madrasah yang mendidik jiwa agar lebih sabar, lebih ikhlas dan lebih berhati-hati dalam setiap perbuatan. Rasulullah SAW bersabda:
“Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (HR Ibnu Majah).
Hadis ini menjadi peringatan bahawa nilai puasa terletak pada kualiti rohani, bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Jika lidah masih berdusta, hati masih berdendam, mata masih melihat yang haram dan tangan masih melakukan maksiat, maka puasa itu belum mencapai maksudnya yang sebenar.
Ramadan sepatutnya menjadi bulan kita memperbaiki solat, memperbanyakkan bacaan al-Quran, memperbanyakkan sedekah serta memohon keampunan atas dosa-dosa lalu. Ia adalah peluang setahun sekali yang tidak pasti akan kita temui lagi pada tahun hadapan. Sabda Rasulullah SAW:
“Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Betapa luasnya rahmat Allah SWT. Ramadan membuka pintu syurga seluas-luasnya dan menutup pintu neraka. Syaitan dibelenggu, dan peluang untuk kembali kepada Allah terbentang luas. Namun, mereka yang benar-benar beruntung ialah yang memanfaatkan setiap hari dan malamnya dengan ibadah. Lebih istimewa lagi, terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar. Firman Allah SWT:
“Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS Al – Qadr: 3).
Bayangkan satu malam yang ganjarannya menyamai lebih 83 tahun ibadah. Betapa ruginya jika kita mensia-siakan peluang tersebut. Ramadan bukan sekadar tradisi tahunan dengan juadah berbuka dan pakaian baharu menjelang Syawal. Ia adalah bulan transformasi. Jika sebelum ini kita jauh daripada masjid, Ramadan mendekatkan kita. Jika sebelum ini al-Quran jarang disentuh, Ramadan menghidupkan kembali hubungan kita dengannya. Namun kejayaan sebenar Ramadan bukan hanya ketika sebulan berpuasa, tetapi apabila perubahan itu berterusan selepasnya. Istiqamah selepas Ramadan adalah tanda ibadah diterima. Sebelum Ramadan tiba, persiapkan diri dengan:
• Taubat yang bersungguh-sungguh.
• Melunaskan hutang puasa.
• Memperbaiki hubungan sesama manusia.
• Merancang jadual ibadah harian.
Ramadan adalah hadiah istimewa daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ia adalah madrasah penyucian jiwa, bulan keampunan dosa dan peluang membina semula hubungan dengan Pencipta. Semoga Ramadan yang bakal tiba menjadi Ramadan terbaik dalam hidup kita. Semoga ia mengubah hati, membersihkan jiwa dan menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa. Wallahualam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment