SEKATAN KE ATAS MASJID AL-AQSA SEPANJANG RAMADAN: UJIAN BUAT UMMAH, MUHASABAH BUAT KITA


Bulan Ramadan adalah bulan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Allah SWT berfirman:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (QS Al – Baqarah: 183).

Ramadan mendidik jiwa agar tunduk, sabar dan penuh ihsan. Namun, dalam bulan yang suci ini, kita masih menyaksikan kezaliman yang berterusan terhadap bumi Palestin. Ketika umat Islam di seluruh dunia mengimarahkan masjid dengan tarawih dan qiyam, saudara kita di Gaza dan di sekitar Masjid Al-Aqsa berhadapan dengan sekatan dan tekanan yang tidak berperikemanusiaan.

Tidak cukup dengan penggunaan senjata yang memusnahkan nyawa dan kediaman sehingga ramai penduduk Gaza terkorban dan kehilangan segalanya, sekatan ke atas Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan menambahkan lagi luka di hati umat Islam. Masjid yang menjadi kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Israk Mikraj itu dihadkan aksesnya, seolah-olah hak beribadah boleh ditentukan oleh tangan-tangan zalim. Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran:

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalang-halangi nama Allah disebut di dalam masjid-masjid-Nya dan berusaha merobohkannya? Mereka itu tidak sepatutnya memasukinya kecuali dengan rasa takut…” (QS Al – Baqarah: 114).

Ayat ini menjadi peringatan keras bahawa menghalang manusia daripada beribadah di rumah Allah adalah satu bentuk kezaliman yang besar di sisi-Nya. Ramadan sepatutnya menjadi bulan keamanan dan ketaatan, bukan bulan sekatan dan penindasan. Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila tiba Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menggambarkan betapa Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan, di mana dorongan kejahatan diperlahankan. Namun realiti yang kita lihat hari ini mengundang persoalan besar dalam jiwa: jika syaitan dibelenggu, mengapa kezaliman masih berlaku? Jawapannya, kerana kejahatan bukan semata-mata datang daripada syaitan, tetapi juga daripada hati manusia yang memilih kezaliman. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri.” (QS Yunus: 44).

Kezaliman yang berlaku bukanlah cerminan ajaran agama, tetapi manifestasi kerakusan kuasa dan hilangnya nilai kemanusiaan. Umat Islam tidak diajar untuk membenci secara membuta tuli, tetapi diajar untuk menentang kezaliman dengan prinsip keadilan dan doa yang tidak pernah putus.

Isu sekatan terhadap Masjid Al-Aqsa sepanjang Ramadan bukan sekadar isu politik, tetapi isu akidah dan maruah umat. Ia menguji sejauh mana kita benar-benar merasai kesatuan ummah. Adakah kita sekadar bersedih di media sosial, atau kita bangkit dengan doa, bantuan kemanusiaan dan kesedaran berterusan?

Ramadan mendidik kita agar peduli. Ketika kita menikmati juadah berbuka, ada keluarga di Gaza yang berbuka dengan air mata. Ketika kita sujud dengan aman, ada yang terhalang untuk menjejakkan kaki ke masjid suci mereka sendiri.

Namun, sebagai orang beriman, kita yakin dengan janji Allah SWT:

“Dan janganlah kamu berasa lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (QS Ali ‘Imran: 139).

Sejarah telah membuktikan bahawa kezaliman tidak akan kekal selamanya. Empayar yang zalim pasti runtuh, manakala kebenaran akan tetap tegak dengan izin Allah SWT. Akhirnya, marilah kita jadikan Ramadan ini bukan sekadar bulan ibadah individu, tetapi bulan solidariti ummah. Perbanyakkan doa untuk Palestin, hulurkan bantuan semampunya, dan didik generasi akan datang agar memahami nilai keadilan dan kemanusiaan.

Semoga Allah memelihara Masjid Al-Aqsa, melindungi rakyat Palestin, dan mengurniakan kemenangan kepada mereka yang dizalimi. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.

Sumber: TikTok Berita Al - Hijrah


 

Comments