WATER MUSICAL FESTIVAL 2026: CUBAAN PENERAPAN BUDAYA DAN AMALAN LUAR KE DALAM JATI DIRI MASYARAKAT ISLAM
Baru-baru ini, tular di laman Facebook satu hantaran daripada seorang netizen yang ditujukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) berkenaan penganjuran Water Musical Festival 2026 yang difahamkan bakal menjadi sebahagian daripada acara Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hantaran tersebut telah mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat, khususnya umat Islam, apabila netizen berkenaan mempersoalkan rasional penganjuran acara tersebut di Malaysia. Persoalan utama yang dibangkitkan ialah mengapa Malaysia, sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, seni dan warisan tempatan, memilih untuk mengetengahkan sebuah festival yang dilihat mempunyai persamaan jelas dengan Festival Songkran dari Thailand.
Festival Songkran bukan sekadar acara kebudayaan semata-mata, bahkan ia berakar daripada sejarah dan amalan keagamaan Buddha. Hakikat ini menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan umat Islam kerana penyertaan atau pengiktirafan terhadap perayaan yang bersifat keagamaan selain Islam adalah dilarang secara jelas dalam syariat. Allah SWT berfirman:
“Dan sesiapa yang menghendaki agama selain Islam, maka tidak sekali-kali akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (QS Ali ‘Imran: 85).
Rasulullah SAW juga telah memberi peringatan yang tegas dalam hal meniru amalan dan budaya keagamaan kaum lain:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” (HR Abu Daud).
Selain isu akidah, penganjuran acara seumpama ini juga dikhuatiri membuka ruang kepada pelbagai kerosakan sosial yang bercanggah dengan nilai Islam dan norma masyarakat Timur. Antara kebimbangan utama yang dibangkitkan ialah:
1. Peningkatan jenayah seksual, khususnya apabila acara melibatkan percampuran bebas tanpa batas.
2. Penularan budaya hedonisme, iaitu budaya berseronok melampau yang menjauhkan manusia daripada nilai agama.
3. Aktiviti tidak bermoral yang sukar dikawal dan akhirnya merosakkan akhlak generasi muda.
Islam sangat menitikberatkan penjagaan maruah dan akhlak. Allah SWT mengingatkan:
“Dan janganlah kamu mendekati perbuatan zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.” (QS Al – Isra’: 32).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja melarang perbuatan maksiat, malah segala jalan dan ruang yang boleh membawa kepadanya juga wajib dijauhi.
Umat Islam di Malaysia tidak menolak pelancongan, malah Islam sendiri menggalakkan manusia mengembara untuk mengenal kebesaran Allah dan mengambil pengajaran daripada pelbagai tamadun. Namun, pelancongan yang diraikan mestilah tidak mengorbankan maruah, adab dan nilai agama.
Rakyat menolak hiburan tanpa sempadan yang akhirnya meruntuhkan jati diri bangsa dan merosakkan akhlak masyarakat. Pembangunan negara tidak seharusnya diukur melalui kemeriahan hiburan semata-mata, tetapi melalui keupayaan mempertahankan identiti, nilai dan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan.
Semoga pihak berwajib lebih cakna dan bijaksana dalam merangka agenda pelancongan negara agar selari dengan syariat Islam, budaya tempatan dan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Comments
Post a Comment