AIDILFITRI TANPA TRAGEDI: TANGGUNGJAWAB UMAT ISLAM MENJAGA KESELAMATAN

 


Kedatangan bulan Syawal sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia. Selepas sebulan menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan, Aidilfitri disambut sebagai tanda kemenangan menundukkan hawa nafsu serta sebagai ruang untuk mempereratkan silaturahim sesama keluarga dan masyarakat. Dalam keghairahan membuat persiapan hari raya – membeli kelengkapan, menyediakan juadah serta merancang perjalanan pulang ke kampung halaman – umat Islam juga perlu mengingatkan diri bahawa keselamatan diri dan keluarga adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.

Dalam ajaran Islam, prinsip menjaga keselamatan ini sebenarnya selari dengan konsep Maqasid Syariah yang menjadi asas kepada pelaksanaan syariat. Antara lima teras utama maqasid ialah memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Justeru, menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang lain adalah satu tuntutan yang sangat penting dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

“Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (QS Al – Baqarah: 195).

Ayat ini menjadi peringatan jelas bahawa umat Islam dilarang melakukan sesuatu yang boleh membawa kepada kemudaratan atau bahaya kepada diri sendiri. Prinsip ini sangat relevan terutama ketika musim perayaan apabila pergerakan manusia meningkat dengan ketara.

Apabila Syawal menjelang, ramai umat Islam akan merancang perjalanan pulang ke kampung halaman untuk berhari raya bersama keluarga tercinta. Namun dalam kesibukan merancang perjalanan tersebut, soal keselamatan di jalan raya perlu diberikan perhatian serius. Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, statistik kemalangan jalan raya di negara ini menunjukkan kadar harian yang membimbangkan dengan purata melebihi 1,400 kes sehari pada tahun lalu. Angka ini seharusnya membuka mata masyarakat bahawa kecuaian di jalan raya boleh membawa kepada tragedi yang tidak diingini.

Selain itu, penggunaan mercun dan bunga api secara tidak terkawal juga sering mengundang bahaya ketika musim perayaan. Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lebih 200 kes kecederaan akibat mercun dilaporkan setiap tahun. Kebanyakan mangsa melibatkan kanak-kanak dan remaja yang kurang kesedaran tentang risiko penggunaan bahan letupan tersebut. Sedangkan Aidilfitri sepatutnya disambut dengan kegembiraan, bukannya berakhir dengan kecederaan atau kesedihan. Islam sendiri menekankan kepentingan menghindari bahaya dan memelihara keselamatan. Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan.” (HR Ibnu Majah).

Hadis ini memberi peringatan bahawa setiap tindakan yang boleh membawa mudarat kepada diri sendiri atau orang lain hendaklah dielakkan. Oleh itu, memandu secara berhemah, mematuhi had laju, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan adalah langkah yang selari dengan tuntutan syarak.

Selain itu, ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak-anak sepanjang musim perayaan. Kanak-kanak hendaklah sentiasa dipantau terutama ketika bermain bunga api atau berada di kawasan jalan raya yang sibuk. Sikap berhati-hati dan disiplin dalam menjaga keselamatan sebenarnya merupakan sebahagian daripada akhlak Islam yang mulia.

Kesimpulannya, Aidilfitri bukan sekadar perayaan, tetapi juga peluang untuk kita menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian. Dalam kegembiraan menyambut Syawal, umat Islam harus sentiasa mengutamakan keselamatan sebagai satu amanah yang perlu dijaga. Dengan sikap bertanggungjawab dan berhati-hati, insya-Allah Aidilfitri dapat disambut dengan penuh kegembiraan, kedamaian dan keberkatan bersama keluarga tercinta.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Sumber: Universiti Islam Selangor (UIS)


Comments