Walaupun hari Nuzul al-Quran telah pun berlalu, namun ia tidak bermakna kita melupakan al-Quran yang menjadi cahaya dan penyuluh kepada kehidupan umat Islam. Peringatan terhadap peristiwa turunnya al-Quran seharusnya menguatkan lagi hubungan kita dengan kitab suci ini, bukan sekadar mengingatinya pada satu hari tertentu sahaja.
Al-Quran merupakan panduan hidup bagi seluruh umat Islam. Di dalamnya terkandung petunjuk tentang akidah, ibadah, akhlak serta cara menjalani kehidupan yang diredai oleh Allah SWT. Tanpa berpandukan al-Quran, manusia mudah terjerumus dalam kekeliruan dan hidup dalam keadaan tidak menentu. Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa mereka akan memperoleh pahala yang besar.” (QS Al – Isra’: 9).
Ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran adalah petunjuk terbaik bagi manusia. Ia membimbing manusia menuju jalan yang benar serta membawa kepada kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat.
Oleh sebab itu, umat Islam digalakkan untuk sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran. Mendekatkan diri dengan al-Quran bukan hanya dengan menyimpannya atau sekadar membacanya ketika majlis tertentu, tetapi dengan membacanya secara berterusan, memahami maknanya, menghayati ajarannya serta mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
Rasulullah SAW juga mengingatkan tentang kelebihan orang yang sentiasa bersama al-Quran. Baginda bersabda:
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari).
Hadis ini menunjukkan bahawa mempelajari dan mengajarkan al-Quran merupakan amalan yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Orang yang dekat dengan al-Quran bukan sahaja mendapat pahala yang besar, bahkan menjadi insan yang terbaik dalam kalangan manusia. Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.” (HR Muslim).
Janji ini menjadi motivasi besar kepada umat Islam untuk sentiasa membaca al-Quran. Setiap huruf yang dibaca akan diganjari pahala oleh Allah SWT, bahkan al-Quran akan menjadi penolong kepada mereka di akhirat kelak. Allah SWT juga telah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada hamba-Nya yang sentiasa berdamping dengan al-Quran. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah, mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi.” (QS Al – Fatir: 29).
Ayat ini menggambarkan bahawa orang yang membaca al-Quran sebenarnya sedang melakukan “perniagaan” dengan Allah SWT, iaitu amalan yang pasti tidak akan merugikan dan akan membawa ganjaran yang besar di akhirat.
Justeru, marilah kita menjadikan al-Quran sebagai sahabat dalam kehidupan seharian. Luangkan masa setiap hari untuk membacanya walaupun hanya beberapa ayat. Didiklah anak-anak untuk mencintai al-Quran sejak kecil, menghadiri kelas pengajian al-Quran serta berusaha memahami maknanya agar kita dapat mengamalkan ajarannya dengan lebih baik.
Sesungguhnya, al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca, tetapi merupakan panduan hidup yang membawa manusia kepada kebahagiaan yang sebenar. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan hamba Allah yang sentiasa mendampingi al-Quran, mendapat keberkatan hidup di dunia dan memperoleh ganjaran syurga yang tidak ternilai di akhirat kelak. Aamiin.
Sumber: Portal e – Imtiyaz, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Comments
Post a Comment