Fenomena gerhana bulan yang dijangka berlaku pada 3 Mac 2026 sekitar jam 7.33 malam menjadi tanda kebesaran Allah SWT yang wajar direnungi oleh seluruh umat Islam.
Susulan itu, pihak mufti menyarankan agar umat Islam mengambil peluang untuk menunaikan solat sunat gerhana sejurus selepas solat Maghrib sebagai tanda keinsafan dan pengabdian kepada Allah SWT. Dalam tradisi Islam, gerhana bukan sekadar fenomena astronomi, tetapi peringatan agar manusia kembali bermuhasabah dan memperbanyakkan amal ibadah.
Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. Apabila kamu melihatnya, maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekahlah.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menjelaskan bahawa Islam menolak kepercayaan khurafat berkaitan gerhana, sebaliknya mendidik umat supaya menjadikannya sebagai detik memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Allah SWT juga berfirman dalam Surah Fussilat ayat 37 yang bermaksud:
Dan antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah malam dan siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan jangan pula kepada bulan, tetapi sujudlah kepada Allah yang menciptakannya…”
Ayat ini menegaskan bahawa segala fenomena alam termasuk gerhana adalah bukti kekuasaan Allah, bukan untuk ditakuti secara melampau, apatah lagi disembah.
Oleh itu, ketika gerhana bulan berlaku, umat Islam disunatkan menunaikan solat sunat gerhana secara berjemaah atau bersendirian, memperbanyakkan zikir, istighfar dan doa agar hati sentiasa tunduk kepada kebesaran-Nya.
Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayang-bayang bumi menutupi cahaya bulan. Secara saintifik, ia adalah kejadian yang boleh dihitung dengan tepat, namun dari sudut keimanan, ia adalah peringatan tentang kekuasaan dan ketelitian ciptaan Allah SWT.
Justeru, marilah kita menyambut fenomena ini dengan penuh keinsafan, menjadikan malam gerhana sebagai medan memperbaharui taubat, memperbanyakkan doa dan memperteguh keyakinan bahawa setiap kejadian di langit dan di bumi adalah di bawah tadbir dan hikmah Allah Yang Maha Esa.
Sumber: Portal Waktu Solat Malaysia

Comments
Post a Comment