Dalam Islam, 10 malam terakhir Ramadan merupakan waktu paling mulia untuk umat Islam memperbanyakkan ibadah seperti ‘qiyamullail’, membaca al-Quran, berdoa dan beriktikaf di masjid bagi mencari keberkatan Lailatul Qadar. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan ibadah pada malam-malam ini dan mengajak umatnya mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun begitu, terdapat segelintir pihak yang memperkenalkan amalan yang tidak bersumber daripada ajaran Islam sebenar, antaranya amalan yang dikaitkan dengan fahaman Syiah. Perkara ini boleh mengelirukan masyarakat jika tidak difahami dengan jelas.
Antara amalan yang sering dipromosikan dalam kalangan Syiah ialah kepercayaan bahawa barang siapa menziarahi makam Imam Husain pada bulan Ramadan, maka seakan-akan ia beriktikaf di sisi makam Nabi SAW. Kepercayaan ini tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW dan tidak diamalkan oleh para Sahabat. Dalam Islam, iktikaf yang dianjurkan adalah dilakukan di masjid bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT, bukan di makam mana-mana tokoh.
Selain itu, mereka juga menghidupkan malam yang dianggap sebagai malam Qadar pada 19, 21 dan 23 Ramadan dengan doa tertentu yang menyebut: “Demi Muhammad, demi Ali, demi Fatimah, demi Hasan, demi Husain dan demi al-Hujjah (Imam Mahdi).” Amalan berdoa dengan menyebut atau bersumpah melalui tokoh-tokoh tertentu seperti ini bercanggah dengan prinsip tauhid dalam Islam yang menegaskan bahawa doa hendaklah dipanjatkan secara langsung kepada Allah SWT tanpa perantaraan manusia.
Perkara seperti ini perlu difahami oleh masyarakat supaya tidak terkeliru antara amalan Islam yang sahih dengan ritual yang berasal daripada fahaman tertentu. Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang jelas dalam mencari Lailatul Qadar iaitu dengan memperbanyakkan ibadah, beriktikaf di masjid dan berdoa kepada Allah semata-mata.
Oleh itu, umat Islam di Malaysia perlu berpegang teguh kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sentiasa merujuk kepada al-Quran serta sunnah yang sahih agar ibadah yang dilakukan benar-benar menepati ajaran Islam. Lailatul Qadar tidak dicari melalui ritual yang direka-reka atau melalui tokoh tertentu, tetapi melalui keikhlasan ibadah kepada Allah SWT sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Rujukan: Dār al-Kutub al-Islāmiyyah

Comments
Post a Comment