HIZBUT TAHRIR DI MALAYSIA: MENGAPA IDEOLOGI INI DIHARAMKAN?


Baru-baru ini timbul semula perbincangan tentang gerakan Hizbut Tahrir di media sosial. Ramai mungkin tidak sedar bahawa ideologi ini sebenarnya telah lama diharamkan oleh pihak berkuasa agama di beberapa negeri di Malaysia kerana bercanggah dengan ajaran Islam yang berasakan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta boleh menjejaskan keselamatan negara. 

Secara asasnya, Hizbut Tahrir ialah gerakan antarabangsa yang membawa agenda menubuhkan sistem “Khilafah global” dan menolak sistem pemerintahan sedia ada seperti demokrasi dan negara bangsa. Ideologi ini dianggap berbahaya kerana ia menganggap negara yang tidak menggunakan sistem khilafah sebagai “negara tidak Islam”, sekali gus boleh mencetuskan konflik politik dan perpecahan dalam masyarakat. 

Di Malaysia, beberapa negeri seperti Selangor, Johor dan Sabah telah mengeluarkan fatwa mengharamkan ajaran Hizbut Tahrir kerana didapati bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi mazhab rasmi negara. Selain itu, penyebaran ideologi tersebut juga boleh diambil tindakan di bawah undang-undang negeri kerana dianggap sebagai ajaran yang menyeleweng dan mengelirukan umat Islam. 

Dari sudut undang-undang negara pula, ideologi yang menyeru perubahan sistem pemerintahan secara radikal boleh dianggap ancaman kepada keselamatan dan kestabilan negara, terutamanya jika ia menghasut rakyat untuk menolak sistem perlembagaan dan institusi sedia ada.  Malaysia sebagai negara berperlembagaan dengan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen tidak membenarkan mana-mana gerakan yang cuba menggugat struktur ini.

Kesimpulannya, umat Islam di Malaysia perlu berhati-hati terhadap sebarang ideologi yang menggunakan nama agama tetapi membawa fahaman ekstrem atau bertentangan dengan ajaran Islam sebenar. Islam menuntut perpaduan, kestabilan dan ketaatan kepada pemerintah selagi tidak menyuruh kepada kemungkaran, bukannya mencetuskan perpecahan atau menggugat keamanan negara.

Jika tidak ditangani dengan bijak, penyebaran ideologi seperti ini boleh menjadi propaganda yang menyesatkan masyarakat dan mengancam keharmonian negara. Oleh itu, masyarakat perlu lebih peka dan mendapatkan ilmu daripada sumber yang sahih serta autoriti agama yang diiktiraf.

Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Cebtre Malaysia - MAC 2026 dan Journal Asian Social Science, Vol.6(11) - Canadian Centre of Science and Education


 

Comments