Pegangan agama Islam di Indonesia secara umum merupakan penganut Sunni iaitu berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pegangan tersebut adalah selari dengan pegangan umat Islam di Malaysia. Namun, penganut Islam di Indonesia sering kali menimbulkan kontroversi dengan pelbagai amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan dari sudut akidahnya jauh terpesong.
Terkait hal ini, tular di media sosial berkenaan jemaah di sebuah masjid di Indonesia, Masjid Baitul Khairaat di Kota Palu, Sulawesi Tengah, menunaikan ibadah yang sama tetapi mengadap kiblat yang berbeza. Tindakan ini sekali gus telah mengundang persoalan dalam kalangan orang ramai berhubung arah kiblat masjid berkenaan. Sedangkan penyelesaiannya mudah, hanya berpandukan arah kiblat imam di hadapan, mengapa perlu mengadap kiblat berbeza dari imam?
Imam solat ialah pemimpin jemaah dalam ibadah, bertanggungjawab mengetuai pergerakan daripada takbiratul ihram sehingga salam. Imam dipilih berdasarkan kriteria seperti kefahaman agama, bacaan al-Quran dan ketakwaan. Seorang imam bertanggungjawab memastikan solat jemaah berjalan dengan tertib dan sah. Tugas makmum pula adalah mengikut pergerakan imam secara tertib, dilarang mendahuluinya, menyamainya atau terlambat dua rukun fe’li (perbuatan) dari imam. Maka, jelas sekali tindakan makmum berkiblat berbeza dengan imam adalah tidak sah di sisi syarak dan boleh mendatangkan fitnah kepada agama Islam itu sendiri.
Justeru itu, untuk umat Islam di Malaysia, ambillah iktibar dari kisah ini. Sedarlah bahawa solat berjemaah adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipenuhi untuk memelihara amalan ini sebagai syiar agama. Imam dan makmum menggalas tugas berbeza tetapi menuju matlamat yang sama. Jika kiblat pun berbeza, dikhuatiri terpesong akidahnya dari ajaran Islam sebenar sebegaimana ketetapan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Sumber: Kosmo – 20 FEB 2026

Comments
Post a Comment