MEMBACA AL-QURAN DI TELEFON PINTAR TANPA BERWUDUK: HUKUM DAN PENJELASANNYA

 


Perkembangan teknologi hari ini memudahkan umat Islam untuk mendekati al-Quran pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Melalui pelbagai aplikasi al-Quran di telefon pintar, kita boleh membaca, mendengar dan mengulang hafazan dengan mudah. Namun timbul persoalan: bolehkah membaca al-Quran di telefon pintar tanpa berwuduk? Jawapannya, boleh dan tidak diwajibkan berwuduk untuk membaca al-Quran melalui telefon pintar.

Hal ini kerana teks al-Quran yang dipaparkan di skrin telefon tidak dikira sebagai mushaf yang sebenar, bahkan ia hanyalah paparan digital yang boleh hilang apabila aplikasi ditutup atau skrin dimatikan. Berbeza dengan mushaf al-Quran yang mempunyai hukum khusus berkaitan sentuhan tanpa wuduk. Allah SWT berfirman:

“Yang tidak disentuh melainkan oleh hamba-hamba yang disucikan.” (QS Al – Waqiah: 79).

Ayat ini menjadi dalil utama dalam perbincangan para ulama mengenai kewajipan berwuduk ketika menyentuh mushaf al-Quran. Oleh itu, hukum tersebut lebih tepat terpakai kepada mushaf fizikal, bukan paparan digital di skrin. Walaupun tidak diwajibkan berwuduk untuk membaca melalui telefon pintar, sekiranya seseorang mempunyai kesempatan untuk berwuduk, maka itu lebih baik. Ini kerana berwuduk adalah satu bentuk penyucian diri dan tanda penghormatan terhadap kalam Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah itu Maha Suci dan menyukai perkara yang suci.” (HR Muslim).

Berwuduk sebelum membaca al-Quran termasuk dalam menjaga adab dan memuliakan kitab suci. Adab yang baik akan menambahkan keberkatan dan kekhusyukan ketika membaca. Ada juga yang bertanya, adakah pahala membaca al-Quran melalui telefon pintar sama seperti membaca mushaf? In Shaa Allah, pahalanya adalah sama, kerana ganjaran membaca al-Quran bergantung kepada bacaan dan keikhlasan, bukan kepada medium yang digunakan. Sabda Rasulullah SAW:

“Barang siapa membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh.” (HR At – Tirmidzi).

Hadis ini menunjukkan bahawa setiap huruf yang dibaca diberi ganjaran, tanpa membezakan sama ada dibaca melalui mushaf atau peranti digital.

Teknologi bukanlah penghalang untuk beribadah, bahkan ia boleh menjadi wasilah (perantara) untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Telefon pintar yang sering kita gunakan setiap hari boleh menjadi alat untuk menambah pahala jika dimanfaatkan dengan baik. 

Lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh keberkatan seperti bulan Ramadan, marilah kita mengambil peluang untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Semoga kita diberi kekuatan dan istiqamah untuk mengkhatamkan al-Quran dalam bulan Ramadan ini, In shaa Allah. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang lebih lurus.” (QS Al – Isra’: 9).

Semoga dengan kemudahan teknologi yang ada, kita semakin hampir dengan al-Quran, menjaga adab terhadapnya, serta meraih ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Aamiin.

Sumber: Laman Media X, Media Digital Johor


Comments