Selepas berakhirnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, kemeriahan Syawal biasanya masih diteruskan dengan penganjuran majlis rumah terbuka. Tradisi ini telah menjadi satu budaya yang sangat sinonim dalam masyarakat kita sebagai tanda kesyukuran serta medan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga, sahabat dan jiran tetangga.
Setiap tahun, pelbagai majlis rumah terbuka diadakan bagi meraikan para tetamu. Tuan rumah menyediakan pelbagai juadah seperti ketupat, rendang, lemang, kuih-muih dan hidangan lain sebagai tanda penghargaan kepada tetamu yang hadir. Namun begitu, dalam suasana yang meriah ini, kita sebagai tetamu juga perlu menjaga adab dan akhlak sepanjang berada di majlis tersebut.
Antara perkara yang perlu dijaga ialah tidak mengambil makanan secara berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran. Islam sangat menekankan sikap sederhana dalam makan dan minum. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah pada setiap kali kamu ke tempat ibadat, dan makanlah serta minumlah, tetapi janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (QS Al – A’raf: 31).
Ayat ini mengingatkan kita agar sentiasa bersederhana dan tidak melakukan pembaziran, termasuk ketika menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Selain itu, bagi tetamu yang hadir bersama anak-anak kecil, mereka hendaklah sentiasa memantau pergerakan anak-anak agar tidak berlari-lari atau merosakkan barangan di rumah tuan rumah. Sikap bertanggungjawab ini menunjukkan rasa hormat kita terhadap tuan rumah yang telah menjemput dan melayani kita dengan baik.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu menjaga tutur kata dan percakapan sepanjang berada di majlis tersebut. Elakkan daripada berkata-kata yang boleh menyinggung perasaan tuan rumah atau tetamu lain. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengajar kita supaya sentiasa menjaga lidah dan memilih kata-kata yang baik dalam setiap pergaulan.
Akhir sekali, sebagai tanda penghargaan, tetamu digalakkan untuk mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah atas layanan yang diberikan. Kita juga boleh mendoakan agar mereka dimurahkan rezeki dan diberkati oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur kepada Allah.” (HR Abu Daud dan At – Tirmidzi).
Kesimpulannya, majlis rumah terbuka Aidilfitri bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi juga ruang untuk memupuk nilai akhlak yang baik, menghormati orang lain dan mengeratkan silaturahim. Dengan menjaga adab sebagai tetamu, kita bukan sahaja memuliakan tuan rumah, malah turut mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Sumber: Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei Darussalam (KHEUB)

Comments
Post a Comment