Malam ini selepas masuk waktu Maghrib, maka bermulalah hari ke-20 dalam bulan Ramadan. Ini bermakna kita kini berada di ambang fasa terakhir Ramadan, dengan hanya berbaki 10 hari sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut kedatangan bulan Syawal. Tempoh ini merupakan saat yang sangat istimewa kerana di dalamnya terdapat satu malam yang amat agung iaitu Lailatul Qadar. Allah SWT telah menjelaskan tentang keistimewaan malam tersebut dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.” (QS Al – Qadr: 1 – 3).
Ayat ini menunjukkan bahawa ibadah yang dilakukan pada malam tersebut lebih baik daripada ibadah selama seribu bulan, iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun. Ini merupakan satu kurniaan yang sangat besar daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Apabila memasuki 10 malam terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan untuk melakukan “pecutan terakhir” dengan memperbanyakkan amal ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh kesungguhan. Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh yang sangat jelas dalam perkara ini. Diriwayatkan oleh Aisyah RA, beliau berkata:
“Apabila masuk sepuluh malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya, bersungguh-sungguh dalam beribadah dan mengikat kainnya (meningkatkan kesungguhan ibadah).” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menunjukkan betapa bersungguh-sungguhnya Rasulullah SAW dalam memanfaatkan malam-malam terakhir Ramadan untuk beribadah kepada Allah SWT.
Sesungguhnya inilah peluang besar bagi setiap Muslim untuk memperbanyakkan amal kebaikan seperti solat, membaca al-Quran, berzikir serta memohon keampunan daripada Allah SWT. Mudah-mudahan kita semua dikurniakan kesempatan untuk bertemu dengan malam Lailatul Qadar yang penuh keberkatan dan rahmat.
Antara amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:
1. Beriktikaf di masjid. Iktikaf bermaksud berdiam diri di masjid dengan niat beribadah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW sentiasa beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Baginda tidak pernah meninggalkan amalan ini sehingga Baginda wafat.
2. Menghidupkan malam dengan solat. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan solat malam seperti solat Tarawih, Tahajud, Taubat dan juga solat Hajat. Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).
3. Memperbanyakkan bacaan al-Quran. Ramadan adalah bulan al-Quran. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk meluangkan masa membaca al-Quran, mentadabbur maknanya serta menghayati ajarannya dalam kehidupan seharian.
4. Berdoa dan berzikir. Pada malam-malam terakhir Ramadan, umat Islam sangat digalakkan untuk memperbanyakkan doa memohon keampunan daripada Allah SWT. Antara doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW ialah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan menyukai keampunan, maka ampunilah aku.” (HR At – Tirmidzi).
5. Bersedekah. Bersedekah juga merupakan amalan yang sangat digalakkan, lebih-lebih lagi pada malam-malam yang penuh keberkatan ini. Sedekah bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, malah menambah pahala dan keberkatan dalam kehidupan.
Akhirnya, marilah kita sama-sama memanfaatkan baki hari Ramadan ini dengan sebaik mungkin. Janganlah kita mensia-siakan peluang yang sangat berharga ini kerana kita tidak pasti sama ada kita akan dipertemukan lagi dengan Ramadan pada tahun hadapan.
Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadah kita, mengampunkan segala dosa-dosa kita, serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mendapat keberkatan malam Lailatul Qadar. In Shaa Allah.
Sumber: Kosmo Online (9 Mac 2026)

Comments
Post a Comment