RAYA IKUT KIRAAN SENDIRI? BAHAYA AMALAN MENYIMPANG DALAM MENENTUKAN SATU SYAWAL

 


Tular isu penduduk di Maluku menyambut Aidilfitri lebih awal iaitu pada 18 MAC 2026, berdasarkan kiraan sendiri tanpa mengikut pengisytiharan pihak berautoriti agama.

Kejadian berlaku di Desa Buano Utara, di mana penduduk berarak sambil bertakbir dan menunaikan solat Aidilfitri walaupun majoriti umat Islam di tempat lain menyambut 1 Syawal pada 21 MAC 2026. 

Malah, terdapat dakwaan bahawa mereka berpuasa lebih awal dan menetapkan tarikh raya berdasarkan kaedah sendiri, bukan mengikut ketetapan rasmi pihak berautoriti agama.

Hal ini dikategorikan sebagai amalan yang menyimpang dalam Islam kerana penentuan awal Ramadan dan 1 Syawal bukan perkara yang boleh dibuat secara individu atau kelompok kecil sesuka hati. Ia mesti berdasarkan Rukyah (melihat anak bulan), Hisab (perkiraan falak yang sah) atau Pengisytiharan pemerintah.

Apa yang berlaku di Maluku ini dipercayai berpunca daripada pegangan tradisi tempatan, kaedah kiraan sendiri yang tidak selaras dengan ijmak ulama dan tidak merujuk kepada autoriti agama rasmi.

Walaupun niat mungkin baik, ibadah dalam Islam tidak boleh berdasarkan adat semata-mata, tetapi mesti berpandukan dalil dan disiplin ilmu.

Justeru itu, berhati-hatilah dalam sesuatu amalan tradisi yang melibatkan bab akidah. Bezakan tradisi dan syariat. Antara duanya, sudah tentu syariat diutamakan agar tidak tersimpang dari ajaran Islam sebenar.  


Sumber: Kosmo - 18 MAC 2026

Comments