Dalam era digital hari ini, jenayah penipuan melalui telefon atau ‘phone scam’ semakin berleluasa di Malaysia. Ramai mangsa kehilangan wang simpanan hanya melalui satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai bank, pegawai polis atau agensi kerajaan.
Menurut pihak polis, sindiket penipuan ini sering menggunakan teknik ‘Caller ID spoofing’ iaitu memanipulasi nombor telefon supaya kelihatan seperti nombor rasmi bank, mahkamah atau agensi kerajaan bagi meyakinkan mangsa.
Modus operandi mereka biasanya bermula dengan panggilan yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes jenayah seperti pengubahan wang haram, dadah atau tunggakan cukai. Mangsa kemudian ditakutkan dan diminta memberikan maklumat bank, kod OTP atau memindahkan wang kononnya untuk tujuan “siasatan”.
Hakikatnya, semua itu hanyalah helah. Selepas maklumat bank diperoleh, wang mangsa akan dipindahkan ke akaun lain tanpa disedari. Lebih membimbangkan, teknologi baharu seperti AI dan peniruan suara kini turut digunakan oleh penjenayah bagi menipu mangsa supaya panggilan tersebut kelihatan lebih meyakinkan.
INGAT 5 PERKARA INI!
i. Polis, bank atau agensi kerajaan tidak akan meminta OTP atau maklumat bank melalui telefon.
ii. Jangan panik jika diugut atau dituduh terlibat kes jenayah.
iii. Jangan pindahkan wang ke mana-mana akaun yang diberi melalui telefon.
iv. Tamatkan panggilan dan hubungi sendiri nombor rasmi bank atau agensi tersebut.
v. Jika menjadi mangsa, segera hubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997.
Jenayah scam bukan sekadar menipu wang, tetapi merosakkan kehidupan mangsa yang kehilangan simpanan bertahun-tahun. Oleh itu masyarakat perlu lebih peka dan tidak mudah percaya dengan panggilan yang mencurigakan. Ingat!!! Satu panggilan boleh menyebabkan seluruh simpanan hilang. Jangan jadi mangsa seterusnya.
Sumber: Berita Harian – 10 MAC 2026

Comments
Post a Comment