Pada 28 Februari 2026, Amerika Syarikat bersama Israel melancarkan satu operasi ketenteraan berskala besar ke atas Iran yang dinamakan 'Operation Epic Fury / Roaring Lion'. Serangan tersebut menyasarkan tapak nuklear, sistem pertahanan udara, infrastruktur ketenteraan serta beberapa fasiliti strategik di beberapa bandar utama termasuk Tehran dan Isfahan. Operasi ini dilaporkan menggunakan pesawat pejuang F-35, peluru berpandu Tomahawk serta sistem dron canggih.
Laporan awal turut mendakwa bahawa pemimpin tertinggi Iran, Ali Khomeini bersama anak perempuannya, dua orang menantu dan seorang cucunya, termasuk barisan pemimpin utama negara iaitu Ketua Turus IRGC, Mohammad Pakpour, Menteri Pertahanan, Amir Nasirzadeh serta Ali Shamkani, Pengerusi Majlis Pertahanan Negara terbunuh dalam serangan tersebut, sekali gus meningkatkan ketegangan dan kebimbangan dunia terhadap kemungkinan berlakunya konflik yang lebih besar.
Keadaan ini memperlihatkan bagaimana kuasa besar menggunakan kekuatan ketenteraan sebagai jalan penyelesaian, sedangkan kesannya turut dirasai oleh negara-negara lain yang tidak terlibat secara langsung. Konflik ini bukan sekadar melibatkan dua buah negara, malah berpotensi mencetuskan peperangan serantau yang boleh menggugat kestabilan politik dan keselamatan antarabangsa.
Implikasi global amat serius, termasuk risiko peningkatan harga minyak, gangguan keselamatan dunia serta kemungkinan tercetusnya serangan balas melalui kumpulan ekstremis. Dalam suasana konflik seperti ini, sentimen kebencian dan radikalisme mudah dimanipulasi sebagai alasan untuk melakukan keganasan atas nama perjuangan atau 'jihad', sekali gus membuka ruang kepada aktiviti yang menjurus kepada terorisme.
Bagi Malaysia, peristiwa ini menjadi iktibar penting bahawa keamanan dunia amat rapuh sekiranya kuasa dan kekerasan dijadikan keutamaan. Malaysia perlu terus berpegang kepada dasar diplomasi, keamanan dan penyelesaian konflik melalui rundingan, bukan peperangan. Selain itu, pihak berkuasa juga perlu sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan ancaman keselamatan tidak langsung seperti propaganda ekstremisme dan provokasi di media sosial.
Kesimpulannya, serangan Amerika Syarikat & Israel ke atas Iran bukan sekadar isu dua negara, tetapi merupakan amaran kepada seluruh dunia tentang bahaya konflik bersenjata. Keamanan global hanya dapat dipelihara melalui diplomasi, dialog, keadilan dan penghormatan terhadap kedaulatan negara lain. Malaysia harus mengambil pengajaran agar terus menjadi suara sederhana yang menolak keganasan dan menyokong keamanan sejagat.
Sumber: Tiktok Ahmad Faezal dan Buletin TV3 - 1 MAC 2026

Comments
Post a Comment