Sejak kebelakangan ini, timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat apabila ada menyangka Syiah adalah salah satu mazhab dalam Islam. Hakikatnya, mazhab dalam Islam yang diiktiraf oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah hanyalah empat iaitu Mazhab Syafie, Mazhab Hanafi, Mazhab Hambali dan Mazhab Maliki. Perbezaan antara empat mazhab ini hanya melibatkan perbahasan hukum fiqh, bukan perbezaan akidah.
Fahaman Syiah tidak dianggap sebagai sebahagian mazhab dalam Islam kerana perbezaan dalam aspek akidah. Antaranya kepercayaan terhadap konsep Imamah yang menganggap khalifah selepas Nabi Muhammad SAW mesti daripada keturunan ahlul bait sahaja. Terdapat juga beberapa pegangan lain yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti menghina para Sahabat Nabi SAW, menolak mushaf al-Quran dan sebagainya.
Di Malaysia, perkara ini telah lama diputuskan apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 1996 memutuskan bahawa ajaran Syiah adalah menyeleweng dan tidak boleh disebarkan atau diamalkan kerana bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi asas akidah umat Islam di Malaysia.
Simpati terhadap Iran yang menganut Syiah
Dalam masa yang sama, umat Islam mungkin bersimpati dengan sesebuah negara seperti Iran dalam isu penindasan atau konflik antarabangsa. Sokongan terhadap keadilan atau isu kemanusiaan tidak salah, namun sokongan tersebut tidak seharusnya sampai mengangkat atau mempromosikan fahaman Syiah. Hal ini dibangkitkan kerana ramai dalam kalangan warganet mungkin masih keliru yang Syiah bukanlah sebahagian daripada Islam kerana ada yang mengatakan:
“Mazhab Syiah Imamiyyah dengan Mazhab Sunni tidak berkaitan dengan masalah akidah ataupun fikih, tetapi berkaitan dengan urusan politik pemerintahan.”
“Iran stands in the spirit of Karbala, the spirit of Husain and the spirit of the grandchildren of Muhammad.”
“Syiah akan membebaskan Baitulmaqdis.”
Justeru itu, umat Islam perlu jelas membezakan antara simpati kemanusiaan, isu politik dan pegangan akidah. Sokonglah kebenaran dan keadilan, tetapi jangan sampai akidah menjadi mangsa kekeliruan.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia - MAC 2026 dan The Sultan Alauddin Sulaiman Shah Journal (JSASS) – Persepsi golongan Syiah terhadap Ahli Sunnah Wal Jamaah

Comments
Post a Comment