Walaupun dunia kini menyaksikan pergolakan yang semakin memuncak antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel, umat Islam tidak seharusnya melupakan penderitaan yang masih dialami oleh saudara seagama kita di Gaza, Palestin. Sehingga hari ini, rakyat Palestin terus hidup dalam keadaan yang penuh kesengsaraan akibat penindasan dan pencerobohan yang berterusan oleh rejim Zionis Israel.
Sebagai umat Islam, kita tidak boleh memandang isu ini dengan sikap tidak peduli. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh saudara kita di Palestin adalah juga sebahagian daripada ujian kepada umat Islam seluruhnya. Rasulullah SAW mengingatkan kita tentang pentingnya kesatuan dan keprihatinan sesama Muslim melalui sabdanya:
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang, belas kasihan dan simpati sesama mereka adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, maka seluruh tubuh turut merasai sakit dengan berjaga malam dan demam.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menggambarkan bahawa umat Islam sebenarnya adalah satu ummah yang saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu, penderitaan yang berlaku di Gaza seharusnya menyentuh hati setiap Muslim di seluruh dunia.
Tahun lalu, Kesatuan Ulama Muslim Sedunia telah mengeluarkan lapan fatwa berkaitan isu pencerobohan Israel terhadap Gaza. Fatwa tersebut menyeru umat Islam agar mengambil tanggungjawab yang sewajarnya dalam membantu dan mempertahankan hak rakyat Palestin. Sebagai umat Islam, kita wajar mengambil maklum serta memahami seruan para ulama ini kerana mereka memainkan peranan penting dalam memberi panduan kepada umat dalam menghadapi situasi yang mencabar.
Lebih menyedihkan, pihak berkuasa penceroboh Israel juga dilaporkan telah mengeluarkan arahan untuk menutup Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan bagi menghalang umat Islam daripada menunaikan ibadah di sana. Tindakan ini bukan sahaja menindas rakyat Palestin, bahkan mencabuli kesucian salah satu daripada tempat paling suci dalam Islam. Masjid Al-Aqsa mempunyai kedudukan yang sangat istimewa dalam Islam. Allah SWT berfirman:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami.” (QS Al – Isra’: 1).
Ayat ini menunjukkan bahawa Masjid Al-Aqsa adalah tempat yang diberkati oleh Allah SWT dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan sejarah serta syiar Islam.
Justeru, seruan juga harus ditujukan kepada para pemimpin negara-negara Islam agar tidak terus berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku di Palestin. Isu Palestin dan Gaza tidak boleh dijadikan sekadar isu bermusim yang hanya mendapat perhatian ketika berlaku tragedi besar, tetapi perlu ditangani secara berterusan dengan tindakan yang serius dan berkesan.
Allah SWT juga telah mengingatkan umat Islam agar sentiasa menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Firman Allah SWT:
“Dan mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan membela orang-orang yang lemah daripada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang berdoa: ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri yang penduduknya zalim ini…’” (QS An – Nisa’: 75).
Oleh itu, langkah segera perlu diambil oleh pemimpin-pemimpin Islam bagi melaksanakan seruan dan fatwa yang telah dikeluarkan demi menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus ditindas dan dihapuskan oleh rejim Zionis Israel. Pada masa yang sama, umat Islam di seluruh dunia juga perlu memainkan peranan masing-masing melalui doa, bantuan kemanusiaan, sokongan moral serta usaha menyebarkan kesedaran tentang perjuangan rakyat Palestin.
Akhir kata, marilah kita semua terus mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan dan pertolongan kepada saudara-saudara kita di Palestin, melindungi Masjid Al-Aqsa daripada sebarang pencabulan, serta mengurniakan kemenangan kepada mereka yang dizalimi.
Semoga Allah SWT menyatukan hati umat Islam, menguatkan ukhuwah sesama kita, dan menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebenaran. Aamiin.
Sumber: Portal Dunia Palestin

Comments
Post a Comment