TEKANAN BUKAN ALASAN: ISLAM MENOLAK TATU, MENYERU RAWATAN DAN KETENANGAN JIWA

 


Fenomena tular melibatkan seorang pempengaruh muda beragama Islam yang mempamerkan tatu penuh di lengannya wajar dijadikan iktibar bersama. Lebih menyedihkan apabila alasan yang diberikan adalah tekanan perasaan, anxiety dan kemurungan. 

Dalam Islam, setiap ujian emosi dan mental adalah sebahagian daripada ketentuan Allah SWT untuk menguji keimanan hamba-Nya. Namun, jalan penyelesaian tidak boleh bertentangan dengan syariat, apatah lagi sehingga “mencederakan” tubuh badan yang merupakan amanah daripada Allah SWT.

Islam dengan jelas melarang perbuatan bertatu. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda: 

“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuatkan tatu…” (HR Bukhari dan Muslim). 

Larangan ini menunjukkan bahawa perbuatan tersebut bukan sahaja berdosa, malah termasuk dalam perkara yang diharamkan kerana mengubah ciptaan Allah tanpa keperluan yang dibenarkan syarak. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’, ayat 119: 

"…dan sesungguhnya aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” 

Ayat ini menjadi peringatan bahawa tindakan mengubah tubuh secara kekal tanpa sebab yang diharuskan adalah mengikuti bisikan syaitan.

Dalam masa yang sama, Islam sangat menitikberatkan penjagaan kesihatan mental. Individu yang mengalami tekanan, kemurungan atau keresahan tidak seharusnya memendam perasaan atau menyalurkannya melalui cara yang memudaratkan diri. 

Sebaliknya, mereka dianjurkan untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya, termasuk bantuan profesional seperti kaunselor, psikologis atau pakar psikiatri. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 286: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” 

Ini memberi harapan bahawa setiap ujian pasti ada jalan keluar, dan bantuan itu wajar diusahakan.

Selain rawatan, pendekatan rohani juga sangat penting. Muhasabah diri, memperbanyakkan doa, zikir, serta mendekatkan diri kepada Allah SWT mampu memberi ketenangan jiwa. Firman Allah dalam Surah ar-Ra’d, ayat 28:


"Ingatlah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” 

Justeru, dalam menghadapi tekanan hidup, umat Islam perlu memilih jalan yang selari dengan ajaran agama—mencari rawatan, memperbaiki hubungan dengan Allah SWT, dan bukan menzalimi diri sendiri atas nama melepaskan perasaan.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor


Comments