ARAK DAN DADAH IBU SEGALA KEJAHATAN! AKIBAT FATAL YANG MEROBEK JIWA


Kejadian menyayat hati melibatkan seorang penunggang motosikal yang maut dirempuh pemandu kereta yang disyaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah baru-baru ini benar-benar merobek jiwa rakyat Malaysia, lebih-lebih lagi ketika suasana Syawal masih diraikan. Dalam saat orang ramai bergembira bersama keluarga, ada insan yang keluar mencari rezeki atau dalam perjalanan pulang ke pangkuan orang tersayang, namun takdirnya terhenti di tengah jalan — bukan kerana ajal semata-mata, tetapi akibat kecuaian dan kerakusan manusia lain yang hilang pertimbangan.

Islam meletakkan nilai nyawa manusia pada kedudukan yang sangat tinggi. Dalam kerangka Maqasid Syariah, penjagaan nyawa (hifz al-nafs) dan penjagaan akal (hifz al-‘aql) merupakan dua daripada prinsip utama yang wajib dipelihara. Apabila kedua-dua ini diabaikan, maka rosaklah keseimbangan hidup manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 32:

Sesiapa yang membunuh seorang manusia… seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.”

Apabila seseorang memilih untuk mengambil arak atau dadah, hakikatnya dia telah merosakkan anugerah terbesar yang membezakan manusia dengan makhluk lain — iaitu akal. Dalam keadaan hilang kewarasan, manusia boleh bertukar menjadi ancaman kepada orang lain. Lebih membimbangkan apabila individu sebegini berada di belakang stereng kenderaan, mengawal mesin yang boleh meragut nyawa dalam sekelip mata. Rasulullah SAW bersabda:

“Arak itu adalah ibu segala kejahatan.” (HR al-Nasa’i).

Dadah juga termasuk dalam kategori yang sama kerana kedua-duanya melemahkan akal dan membuka pintu kepada pelbagai kemudaratan. Tragedi seperti ini tidak boleh lagi dilihat sekadar dengan simpati dan ucapan takziah semata-mata. Ia menuntut perubahan yang lebih tegas dan menyeluruh. Bermula daripada pendidikan yang menanam kesedaran, tanggungjawab individu, penggunaan teknologi pengesan, kawalan terhadap penjualan bahan terlarang, sehinggalah kepada penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan hukuman yang setimpal. Semua ini penting demi memastikan keselamatan masyarakat terjamin dan nyawa manusia tidak dipandang murah.

Kematian ini adalah satu peringatan keras buat kita semua. Jangan biarkan keseronokan sementara yang haram meragut masa depan orang lain. Jangan tunggu sehingga lebih banyak nyawa menjadi sekadar angka dalam statistik sebelum tindakan diambil. Kembalilah kepada ajaran Islam yang memuliakan nyawa dan memelihara akal — kerana di situlah letaknya keselamatan dan kemuliaan hidup manusia.

Sumber: Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


 

Comments