Mutakhir ini, fenomena “office husband” atau “office wife” semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat moden. Istilah ini merujuk kepada hubungan akrab antara rakan sekerja berlainan jantina yang berkongsi masalah peribadi, menjadi tempat mengadu dan meluangkan masa bersama seolah-olah pasangan suami isteri. Pada zahirnya, ia mungkin dilihat sebagai persahabatan biasa, namun hakikatnya hubungan ini boleh melangkaui batas yang dibenarkan dalam Islam.
Fenomena ini lazimnya bermula dengan gurauan ringan dan interaksi harian yang kerap, kemudian berkembang menjadi hubungan emosi yang lebih mendalam. Tanpa disedari, ia membuka ruang kepada keterikatan hati yang tidak sepatutnya, seterusnya membawa kepada pintu kecurangan. Islam memandang serius perkara ini kerana ia termasuk dalam kategori “zina hati” yang boleh merosakkan jiwa dan iman seseorang.
Allah SWT telah memberi peringatan yang jelas dalam firman-Nya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (QS Al – Isra: 32).
Sementara itu dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“ketahuilah bahawa tidak sesekali bersunyi – sunyian seorang lelaki ajnabi dengan seorang wanita ajnabiyah kecuali datang yang ketiga di antara mereka berdua iaitu syaitan.” (HR At – Tirmidzi).
Nas-nas ini menunjukkan bahawa Islam bukan sahaja melarang zina secara fizikal, malah menutup segala jalan yang boleh membawa kepadanya. Bagi menjaga kesucian pergaulan di tempat kerja, Islam telah menetapkan adab-adab ikhtilat yang perlu dipatuhi. Antaranya ialah menundukkan pandangan, menjaga aurat dengan berpakaian sopan, serta mengelakkan berdua-duaan di tempat tertutup.
Selain itu, setiap individu hendaklah menjaga tutur kata, tidak bergurau secara berlebihan atau menggunakan nada menggoda, serta mengelakkan sentuhan fizikal dan penggunaan kata-kata yang boleh menimbulkan salah faham. Semua ini bertujuan memelihara maruah diri dan mengelakkan fitnah.
Sesungguhnya, perbuatan yang tidak bermoral ini boleh menghancurkan institusi kekeluargaan, menimbulkan syak wasangka serta membuka jalan kepada maksiat yang lebih besar. Oleh itu, marilah kita bersama-sama kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bertaubat atas kesalahan yang lalu dan sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dijauhkan daripada segala keburukan. Semoga kita semua dipelihara iman dan akhlak dalam menghadapi cabaran kehidupan moden ini.
Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak

Comments
Post a Comment