GLOBAL SUMUD FLOTILLA 2.0 - JANGAN POLITIKKAN ISU KEMANUSIAAN

 


Global Sumud Flotilla 2.0 kembali dengan semangat yang lebih besar, membawa misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang terus dizalimi. Namun begitu, di sebalik usaha murni ini, timbul pelbagai persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Ada yang memandang sinis, menuduh ia sekadar “wayang” untuk meraih perhatian dunia, apatah lagi dengan penglibatan pempengaruh media sosial. Lebih mendukacitakan, terdapat juga suara-suara yang mempertikaikan keikhlasan misi ini serta mempolitikkan usaha kemanusiaan yang sepatutnya disokong bersama.

Hakikatnya, dalam Islam, membantu golongan yang tertindas merupakan satu tuntutan yang mulia. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 111:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang beriman jiwa dan harta mereka…”

Ayat di atas menunjukkan betapa tinggi nilai pengorbanan di sisi Allah SWT. Begitu juga dalam Surah Al-Anfal ayat 65 di mana Allah SWT berfirman:

“Wahai Nabi, galakkanlah orang-orang beriman berperang…”

Hal ini di mana Allah SWT menyeru agar orang beriman bangkit mempertahankan kebenaran. Walaupun ayat-ayat ini sering dikaitkan dengan jihad, para ulama menjelaskan bahawa jihad itu luas maknanya, termasuklah usaha kemanusiaan seperti menyampaikan bantuan dan membuka mata dunia terhadap kezaliman.

Isu penglibatan wanita dalam misi ini juga tidak terlepas daripada perbahasan. Pandangan mufti di negara ini jelas dan seimbang, iaitu hukum asal bagi wanita menyertai misi flotila adalah harus dan tidak salah. Namun, Islam tidak mewajibkan wanita untuk terlibat dalam jihad berbentuk peperangan. Ini bertepatan dengan hadis riwayat al-Bukhari di mana Rasulullah SAW bersabda:

“Wanita turut serta bersama Nabi… memberi minum dan merawat yang cedera”

Hadis ini membuktikan bahawa peranan wanita dalam misi kemanusiaan adalah diiktiraf dalam syariat. Bagi wanita yang bergelar isteri dan ibu, hukum penyertaan tetap harus tetapi tertakluk kepada tanggungjawab. Dalam fiqh, seorang isteri perlu mendapat keizinan suami dan memastikan kebajikan anak-anak terpelihara. Jika suami redha dan urusan keluarga terjaga, maka penyertaan tersebut tidak menjadi isu.

Namun, terdapat juga pandangan berhati-hati daripada sebahagian ulama yang tidak menggalakkan musafir tanpa mahram tanpa keperluan mendesak, serta mengingatkan agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Ini menunjukkan Islam sentiasa menyeimbangkan antara semangat perjuangan dan tanggungjawab asas.

Kesimpulannya, isu Global Sumud Flotilla 2.0 tidak seharusnya dipolitikkan atau dijadikan medan tuduhan tanpa asas. Pandangan para mufti telah memberikan garis panduan yang jelas dan adil. Misi ini adalah satu usaha kemanusiaan yang besar untuk membela nasib umat yang tertindas. Justeru, sewajarnya kita menilai dengan ilmu dan hikmah, bukan dengan prasangka. Jangan sampai kita menunggang agama untuk menghukum, sedangkan Islam sendiri mengajar kita untuk berlaku adil, berlapang dada, dan menyokong usaha kebaikan selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan


Comments