JAUHILAH PERBUATAN YANG KEJI AGAR SIFAT KASIH SAYANG DI DALAM HATI TIDAK DICABUT

 


Rahmat Allah SWT adalah anugerah yang sangat luas, meliputi kasih sayang, keampunan dan segala bentuk kebaikan kepada hamba-Nya. Dalam kehidupan seorang Muslim, sifat rahmah bukan sekadar nilai moral, tetapi manifestasi iman yang sebenar. Orang yang beriman akan mudah berbelas kasihan terhadap manusia dan juga makhluk lain. Rasulullah SAW bersabda: 

“Tidaklah dicabut sifat rahmah (kasih sayang) kecuali daripada orang yang celaka.” (HR At-Tirmidzi). 

Hadis ini menunjukkan bahawa hilangnya sifat kasih sayang adalah tanda kebinasaan hati dan kelemahan iman seseorang.

Namun, rahmat Allah boleh ditarik daripada seseorang apabila dia terus-menerus melakukan perbuatan keji dan maksiat. Apabila hati semakin jauh daripada Allah, sifat belas kasihan akan mula hilang, digantikan dengan kekerasan, keegoan dan ketidakpedulian terhadap orang lain. Firman Allah SWT:

“Maka disebabkan mereka melanggar perjanjian, Kami laknat mereka dan Kami jadikan hati mereka keras membatu.” (QS Al – Ma’idah: 13).

Perbuatan keji bukan sahaja merosakkan diri sendiri, malah memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim dalam masyarakat. Menurut pandangan sahabat Nabi, Salman al-Farisi, apabila rahmat Allah dicabut, sebahagian daripada iman juga akan hilang. Ini membawa kepada keadaan hati yang gelap sehingga seseorang itu tidak lagi mengenal kebaikan, malah cenderung kepada kejahatan dan permusuhan.

Apabila rahmah hilang, lahirlah sifat zalim, kejam dan tidak berperasaan, yang akhirnya merosakkan kesejahteraan individu dan masyarakat. Kehilangan rahmah adalah tanda kecelakaan rohani yang perlu ditakuti oleh setiap Muslim.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa berusaha memupuk sifat kasih sayang dalam diri, menjauhi sifat ego dan keras hati, serta tidak berputus asa dalam mencari rahmat Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu.” (QS Al – A’raf: 156).

Dengan memperbanyakkan taubat, berbuat baik sesama manusia, dan menanamkan sifat penyayang, kita akan sentiasa berada dalam naungan rahmat-Nya. Semoga rahmah Allah SWT sentiasa melimpahi kehidupan kita dan menjadikan kita insan yang lembut hati serta membawa kebaikan kepada seluruh alam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan


Comments