KELDAI DADAH: JERAT MUDAH, AKHIRNYA PADAH

 


Isu “keldai dadah” kembali membimbangkan apabila semakin ramai rakyat Malaysia terutamanya golongan muda diperalat oleh sindiket antarabangsa untuk menyeludup dadah tanpa sedar atau kerana terpedaya dengan ganjaran lumayan. Modus operandi mereka licik: 
i. tawaran kerja luar negara 
ii. hadiah tiket percuma
iii. upah lumayan membawa “barangan” yang kononnya tidak berbahaya. 
Hakikatnya, mangsa dijadikan kambing hitam untuk menanggung risiko besar termasuk hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati di sesetengah negara.

Lebih merisaukan, statistik menunjukkan peningkatan rampasan dadah oleh pihak berkuasa di Malaysia saban tahun. Ini menandakan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah masih aktif dan semakin kompleks. Dadah seperti syabu, heroin dan pil ekstasi bukan sahaja merosakkan individu, malah menghancurkan institusi keluarga dan keselamatan sosial negara.

Masyarakat perlu sedar bahawa menjadi “keldai dadah” bukan alasan untuk terlepas daripada tindakan undang-undang. Ketidaktahuan tidak akan membebaskan seseorang daripada hukuman. Oleh itu, penting untuk sentiasa berwaspada terhadap tawaran yang mencurigakan, terutama yang melibatkan perjalanan ke luar negara atau kiriman barang bagi pihak ketiga.

Kesedaran dan pendidikan adalah benteng utama. Ibu bapa, institusi pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam memberi pendedahan tentang bahaya dadah dan taktik sindiket. Ingatlah sekali terjebak, masa depan boleh musnah sekelip mata.

Sumber: Kosmo – 11 APR 2026


Comments