“MENJAGA MARUAH DALAM BERBUDAYA: PERSPEKTIF ISLAM TERHADAP ‘TIDUR LAMBAK’”

 



Fenomena penganjuran acara “Tidur Lambak” yang tular baru-baru ini membuka ruang perbincangan yang lebih luas tentang hubungan antara adat, budaya dan batasan syarak dalam kehidupan umat Islam. Walaupun idea tersebut diinspirasikan daripada suasana harmoni masyarakat Melayu dan Malaysia secara spesifikasinya ketika pulang ke kampung, di mana ahli keluarga tidur beramai-ramai dalam satu ruang — hakikatnya konteks asal budaya itu sangat berbeza dengan pelaksanaan dalam sebuah acara terbuka yang melibatkan masyarakat umum.

Dalam Islam, setiap amalan dan aktiviti kehidupan tidak terlepas daripada panduan syarak. Hal ini termasuklah dalam aspek sosial, hiburan, dan penganjuran program. Kegusaran yang dibangkitkan oleh masyarakat, khususnya berkaitan percampuran bebas antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, bukanlah sesuatu yang remeh. Ia menyentuh soal maruah, kehormatan diri, serta batas pergaulan yang telah digariskan dengan jelas dalam agama. Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nur, ayat 30-31:

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka… Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka…”

Ayat ini menjadi asas penting dalam menjaga adab pergaulan antara lelaki dan wanita. Islam tidak melarang interaksi sosial, tetapi menetapkan garis panduan yang jelas agar tidak membawa kepada fitnah dan kerosakan moral. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Walaupun situasi “Tidur Lambak” bukan semata-mata berkhalwat, suasana percampuran bebas tanpa batas tetap berpotensi membuka pintu kepada perkara yang ditegah oleh syarak. Islam amat menitikberatkan prinsip سد الذرائع (menutup pintu-pintu kepada kemungkaran) sebagai langkah pencegahan awal. Adat Melayu sememangnya kaya dengan nilai kebersamaan dan kekeluargaan. Namun perlu difahami bahawa adat yang diterima dalam Islam adalah adat yang tidak bercanggah dengan syarak. Kaedah fiqh menyebut:

“Adat itu diambil kira sebagai hukum selagi tidak bercanggah dengan syarak.”

Dalam konteks ini, budaya tidur beramai-ramai dalam kalangan keluarga adalah sesuatu yang berlaku dalam ruang yang terkawal, melibatkan mahram, serta dipenuhi adab dan batas yang difahami. Apabila ia diangkat menjadi satu acara terbuka yang melibatkan individu berlainan latar belakang tanpa hubungan kekeluargaan, maka ia sudah keluar daripada konteks asal dan perlu dinilai semula dari sudut hukum.

Syarak bukanlah bertujuan menyempitkan ruang kehidupan manusia atau memutuskan hubungan sosial. Sebaliknya, ia hadir sebagai sistem yang menjaga kemaslahatan manusia secara menyeluruh — melindungi agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Dalam hal ini, penjagaan maruah dan kehormatan diri termasuk dalam maqasid syariah yang utama.

Perlu ditegaskan bahawa beragama bukan bermaksud menghalang kegembiraan atau menolak budaya. Islam tidak menafikan keperluan manusia untuk berhibur dan berinteraksi. Namun, semua itu mesti berada dalam kerangka yang selamat dan diredai Allah. Batasan yang ditetapkan bukanlah beban, tetapi benteng — yang menjaga manusia daripada terjerumus ke lembah kehinaan dan kerosakan nilai diri.

Dalam dunia yang semakin terbuka dan mencabar ini, umat Islam perlu lebih peka dan bijak dalam menilai sesuatu trend atau penganjuran. Tidak semua yang viral itu wajar diikuti, dan tidak semua yang berunsur budaya itu sesuai diamalkan tanpa tapisan syarak. Keseimbangan antara adat dan agama adalah kunci. Adat memeriahkan kehidupan, tetapi syarak memandu arah. Tanpa panduan syarak, adat boleh tersasar. Namun dengan bimbingan agama, budaya akan terus hidup dalam kerangka yang mulia dan diberkati.

Sumber: Jabatan Mufti Negeri Perak



Comments