Tanah Karbala di Iraq sangat dimuliakan oleh penganut Syiah kerana di situlah Saidina Husain RA, cucu Nabi Muhammad SAW terbunuh dalam peristiwa tragis pada tahun 680 Masihi. Peristiwa ini menjadi simbol kesedihan dan perjuangan dalam sejarah mereka.
Namun dalam fahaman Syiah, Karbala bukan sekadar tempat bersejarah. Tanah tersebut dianggap mempunyai kelebihan spiritual yang istimewa. Antara amalan yang sering dikaitkan ialah menggunakan tanah Karbala (turbah) ketika sujud dalam solat, menyimpan tanah itu sebagai objek keberkatan, malah ada yang percaya tanah Karbala mempunyai kelebihan penyembuhan.
Di sinilah timbulnya polemik dari sudut akidah. Dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, tanah atau tempat tidak mempunyai kuasa ghaib. Islam menegaskan bahawa keberkatan hanya datang daripada Allah SWT, bukan daripada tanah, objek atau tempat tertentu kecuali yang jelas disebut dalam syariat seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa.
Ketaksuban Syiah terhadap tanah Karbala sehingga dikaitkan dengan kuasa spiritual dianggap sebagai unsur khurafat dan penyelewengan akidah. Lebih membimbangkan apabila ia membawa kepada pengagungan melampau terhadap tempat dan tokoh tertentu.
Peristiwa Karbala sememangnya sejarah yang menyedihkan dan umat Islam tetap menghormati pengorbanan Saidina Husain RA. Namun menganggap tanah Karbala mempunyai kelebihan luar biasa tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
Pengajarannya, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman Syiah yang bercanggah dengan akidah Islam sebenar sebagaimana pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Hormati sejarah, tetapi jangan sampai ketaksuban membawa kepada penyelewengan daripada ajaran Islam yang murni.
Sumber: Unit Penyelidikan al-Haq Centre Malaysia – APR 2026

Comments
Post a Comment